RAMALLAH, 11 Julai 2014 (Ma’an) — 14 rakyat Palestin cedera terkena tembakan peluru hidup dan peluru getah dalam pertempuran di Ramallah dan el-Bireh di Tebing Barat.
Di perkampungan al-Janiya di barat Ramallah, sembilan pemuda ditembak dengan peluru hidup dalam pertempuran di antara pemuda Palestin dan tentera Zionis. Tentera Zionis menceroboh masuk kampung tersebut sambil menembak gas pemedih mata dan peluru hidup, menyebabkan pemuda kampung bertahan dengan membaling batu, botol dan bom Molotov. Jalan masuk utama ke kampung tersebut ditutup, menyebabkan kenderaan tidak boleh masuk atau keluar dan memudahkan tentera menangkap para pemuda.
Penduduk cuba mendapatkan bantuan ambulan bagi membantu mereka yang tercedera, tetapi dihalang masuk oleh tentera Zionis yang menutup jalan tersebut.
Pertempuran juga meletus di perkampungan Deir Abu Mashall di barat laut Ramallah. Tentera Zionis menutup jalan masuk utama dan menembak peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata ke arah pemuda yang bertempur, menyebabkan enam orang tercedera.
Di kawasan Jabal al-Tawil di el-Bireh, dua pemuda tercedera terkena tembakan peluru getah dan empat lagi diculik oleh tentera Zionis semalam. Manakala dalam pertempuran di Nilin, tiga pemuda tercedera dan puluhan yang lain mengalami sesak nafas akibat serangan gas pemedih mata.
Dalam pertempuran di Nilin, pemuda Palestin turut berhadapan dengan serangan para peneroka Yahudi. Bagaimanapun tentera Zionis gagal menceroboh masuk ke kampung berkenaan apabila kumpulan pemuda membina sekatan di jalan masuk utama dan membaling batu serta bom Molotov ke arah tentera.