15 penduduk Tebing Barat termasuk remaja diculik

AL-KHALIL, 15 Okt 2017 — Tentera penjajah Zionis telah menculik 15 penduduk Palestin yang menjadi buruan mereka di seluruh wilayah Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Di Jenin, tentera Zionis menculik bekas tahanan Taher Jawad Badarneh, 23, dan remaja Qassem Khalid Abu Bakr, 16, selepas memecah masuk dan menggeledah rumah mereka di bandar Yaabad.

Segerombolan besar tentera menyerbu bandar Beit Ummar di wilayah al-Khalil dan memecah masuk rumah Abdul-Rahman Awad untuk menangkap anak lelakinya, Bilal. Dalam kejadian yang sama, seorang askar wanita Zionis menyerang anak perempuannya, Ayeh. Apabila mereka gagal menemui Bilal, tentera Zionis menyerbu sebuah kedai roti tempat beliau bekerja, dan akhirnya menculik beliau di situ.

Pasukan tentera yang sama turut menculik bekas tahanan Mohamed al-Salibi dan merampas keretanya di bandar tersebut.

Bilal dan Mohamed dipercayai dibawa ke pengkalan tentera Etzion di utara bandar Beit Ummar.

Manakala di kota al-Khalil, tentera Zionis menculik dua pemuda, Rashid Abu Hadid dan Samer al-Dajani, selepas memecah masuk sebuah rumah di kejiranan Abu Asnaineh dan beberapa buah apartmen di bangunan al-Qawasmeh di kawasan Abu Katila.

Di Beit Lahm pula, tentera Zionis menyerang masuk kem pelarian al-Deheisheh dan menggeledah rumah keluarga Mousa al-Khamour. Pasukan tentera berkawal di atas bumbung-bumbung rumah jiran ketika membuat serbuan tersebut.

Pada mulanya, pasukan tentera Zionis berpakaian preman menaiki sebuah kereta awam dengan nombor pendaftaran Palestin memasuki kem tersebut untuk cuba menangkap Murad Mousa al-Khamour, 21, yang merupakan seorang aktivis Barisan Pembebasan Palestin (PFLP). Kemudian tentera memecah masuk rumah beliau dan merosakkan perabut apabila mereka gagal mencari Murad.

Seorang pegawai perisik Shin Bet mengugut untuk membunuh Murah sekiranya beliau tidak menyerah diri.

Tentera Zionis juga menjalankan kempen memburu pemuda Palestin di wilayah-wilayah lain, di mana tiga pemuda diculik dari rumah mereka di bandar Qabatiya di wilayah Jenin dan dua yang lain dari kota Qalqilya dan perkampungan Aboud di barat laut Ramallah.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts