1,600 tahanan Palestin dibiar tanpa rawatan

AL-QUDS, 2 Nov 2016 (PIC) — Sekurang-kurangnya 1,600 tahanan Palestin dalam penjara Zionis dibiarkan tanpa mendapat rawatan perubatan yang diperlukan, dedah bekas tahanan Ibrahim al-Abassi.

Bercakap mewakili para tahanan, Ibrahim yang pernah merengkok dalam penjara selama 18 tahun memberitahu bahawa lebih 1,600 tahanan sedang menanggung penyakit yang mengancam nyawa termasuk 120 orang yang mengidap barah, kencing manis, tekanan darah tinggi dan juga masalah jantung.

Bilangan tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam penjara kini mencecah 208 orang, apabila Yasser Hamdouna menghembus nafas terakhir pada 25 September lalu kerana tidak diberikan rawatan.

“Berita gempar tentang kematian, serangan, mogok lapar serta masalah kesihatan yang kronik kini menjadi rutin harian dalam penjara Zionis,” kata Ibrahim. “Mana-mana tahanan yang dipindahkan ke sebuah hospital untuk menjalani pembedahan biasanya dihantar kembali ke penjara dalam tempoh dua hari, dengan menaiki Bosta [kenderaan penjara untuk memindahkan tahanan]. Seorang yang sihat sekalipun tidak akan sanggup menaiki Bosta, apatah lagi tahanan yang sedang sakit yang baharu menjalani pembedahan.”

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts