17 Penduduk Palestin Diculik Dari Tebing Barat

NABLUS, 28 Dis 2017 — Sekurang-kurangnya 17 penduduk Palestin diculik dari rumah mereka di beberapa wilayah Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Di Nablus, kenderaan peronda tentera Zionis menyerbu kejiranan al-Etihad dan menangkap seorang pemuda, Kamel al-Basha, dari rumah keluarganya. Tentera juga bertempur dengan sekumpulan pemuda Palestin, melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup untuk menyurai mereka. Pertempuran juga tercetus di beberapa kawasan kejiranan lain di Nablus, namun tiada tangkapan dibuat.

Di Jenin pula, empat remaja diculik dari bandar Kafr Than.

Manakala di al-Khalil, tentera Zionis menyerbu bandar Beit Sa’ir dan Beit Ummar, memecah masuk beberapa buah rumah dan menculik dua pemuda. Dalam kejadian di Beit Ummar, tiga bersaudara dari keluarga Ibrahim Akhlil diarah hadir serah diri untuk disoal siasat oleh pasukan perisikan Shin Bet.

Di Ramallah, beberapa buah rumah dipecah masuk dan empat pemuda, Sultan Bawadi, Rashad Mirshed Hammad, Muhammad Omar Hamed dan Rafat Radwan, diculik dari bandar Silwad.

Tentera Zionis turut menyerbu kem pelarian Qalandia dan menculik dua pemuda, Rashed Hamad dan Ahmed Abdul-Raouf.

Menurut PBB, tentera Zionis telah menjalankan 162 operasi memburu penduduk Palestin sepanjang tempoh dari 5 hingga 18 Disember lalu.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts