182 Kanak-Kanak Palestin Dipenjara Zionis

BETHLEHEM, 1 Apr 2015 (Ma’an) — Sehingga akhir Februari lalu, seramai 182 kanak-kanak Palestin ditahan di dalam penjara Zionis. Lebih separuh daripadanya ditahan di penjara-penjara di luar wilayah Palestin yang terjajah, sekaligus memisahkan mereka dari keluarga.

Military Court Watch, sebuah pertubuhan guaman yang menumpukan perhatian terhadap layanan ke atas kanak-kanak Palestin di dalam penjara Zionis, dalam kenyataannya menjelaskan bilangan tahanan tersebut meningkat dengan tinggi sekali berbanding dengan bilangan pada bulan Januari.

Daripada 182 orang kanak-kanak tersebut, 25 orang adalah berumur di antara 14 dan 15 tahun, manakala 157 daripadanya berumur dari 16 hingga 17 tahun. Dua orang daripada mereka adalah perempuan.

93 daripadanya ditahan di dalam wilayah negara haram Zionis walaupun mereka ditangkap di dalam wilayah pentadbiran Palestin. Tindakan ini jelas melanggari undang-undang antarabangsa yang menghalang pemindahan tahanan dari wilayah yang dijajah.

Military Court Watch turut mendedahkan bahawa sehingga akhir Februari lalu, sejumlah 5,609 orang Palestin dari Al-Quds Timur, Gaza dan Tebing Barat kini ditahan di sebagai “tahanan keselamatan”. Manakala 1,970 orang lagi ditahan sebagai “tahanan jenayah,” termasuk kira-kira 25 orang kanak-kanak.

Statistik mahkamah tentera Zionis di Tebing Barat pada tahun 2011 menunjukkan 99.74 peratus penduduk Palestin yang dihadapkan ke mahkamah akhirnya dijatuhkan hukuman bersalah. Mahkamah Zionis turut meluluskan 98.77 peratus permohonan untuk melanjutkan tempoh tahanan penduduk Palestin yang ditahan tanpa perbicaraan.

Penduduk Palestin yang dihadapkan ke mahkamah Zionis berhadapan dengan perbicaraan yang tidak adil dan hukuman penjara yang lama, tanpa merujuk kepada bukti-bukti sebenar tentang dakwaan penglibatan mereka dalam jenayah.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts