2 pemuda Palestin ditangkap di Masjid al-Aqsa

KOTA BAITULMAQDIS, 20 Sep 2020 — Pasukan polis Zionis menyerbu masuk dewan solat Bab al-Rahmah di timur perkarangan Masjid al-Aqsa, menyerang para jemaah dan menangkap dua pemuda Palestin yang berada di situ.

Kejadian berlaku ketika gerombolan pendatang Yahudi meneceroboh masuk tapak suci umat Islam itu petang tadi. Salah seorang mangsa ditangkap kerana melaungkan takbir di hadapan para pendatang yang menceroboh masuk masjid.

Pendatang Yahudi terus menceroboh masuk Masjid al-Aqsa sehingga waktu malam, kononnya bagi mengatasi kekangan sekatan pergerakan yang dikenakan akibat pandemik Covid-19 sepanjang musim perayaan sambutan tahun baharu Yahudi.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pendatang Yahudi menyamar masuk ke dalam Masjid al-Aqsa, cuba membawa masuk dan meniup trompet (shofar) sebagai ritual sambutan tahun baharu Yahudi. Beliau bagaimanapun ditangkap dan dihalau keluar oleh pengawal masjid.

Sementara itu, seorang anggota polis Zionis didapati cuba meletakkan sebilah pisau berdekatan Bab ar-Rahmah. Beliau dipercayai cuba memerangkap para jemaah dengan pisau tersebut, untuk mengenakan larangan ke atas penduduk Palestin atau menutup Masjid al-Aqsa bagi memberi laluan bebas kepada pendatang Yahudi menceroboh masuk.

(Palinfo)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts