2 remaja Gaza terbunuh dalam serangan tentera Zionis

GAZA, 18 Feb 2018 — Dua remaja Gaza meninggal dunia dalam serangan kereta kebal tentera Zionis ke atas kawasan Rafah di selatan Gaza malam tadi.

Mangsa-mangsa dikenali sebagai Salem Mohamed Sabbah dan Abdullah Ayman Sheikha, kedua-duanya berumur 17 tahun, yang berasal dari kejiranan al-Salam di Rafah.

Pasukan kereta kebal tentera Zionis malam tadi menyasarkan sekumpulan enam remaja di perkampungan al-Shokah di Rafah, atas alasan mereka cuba melintas pagar keselamatan untuk menyelinap masuk ke dalam kawasan Palestin 1948 yang terjajah.

Empat orang tercedera dalam serangan tersebut, di mana dua daripada mereka berjaya melarikan diri sebelum dibantu dan dikejarkan ke Hospital Abu Yousif Annajar.

Bagaimanapun dua lagi mangsa tidak dapat dibantu kerana terkandas dalam kawasan yang sangat merbahaya untuk dimasuki oleh petugas perubatan. Mereka hanya dapat dijumpai semula pada jam 6:15 pagi tadi, dalam keadaan berdarah terkena tembakan di seluruh badan.

Kawasan Rafah menjadi sasaran serangan tentera Zionis sepanjang malam tadi susulan insiden empat orang askar Zionis cedera dalam letupan ketika meronda dalam kawasan selatan Gaza itu.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts