20 penduduk Palestin diculik dari Tebing Barat

JENIN, 20 Jun 2018 — Tentera penjajah Zionis menjalankan operasi memburu dan menculik sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin di beberapa wilayah Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Segerombolan besar tentera dikerahkan ke kem pelarian Jenin, di mana mereka bertebaran di jalanan dan menculik empat orang penduduk. Salah seorang mangsa dibebaskan tidak lama kemudian.

Sebahagian daripada pasukan tentera dikerah ke jalan utama Jenin-Haifa, di mana mereka bertempur dengan penduduk Palestin.

Di Tulkarem, sebuah rumah penduduk Palestin di pinggir Dunaba dipecah masuk dua kali sebelum tentera menculik seorang pemuda. Tentera turut menyerbu bandar Qaffin, memecah masuk dan menggeledah rumah tahanan Fathi al-Khasib dan menculik anak lelakinya Mus’ab.

Seorang lagi pemuda, Baker Tawfiq, diculik dalam operasi di Kafr Abbush di selatan Tulkarem.

Manakala di Nablus, enam pemuda diculik dari rumah mereka ketika tentera Zionis menyerbu kota Nablus dan bandar Tell secara ganas.

Di al-Khalil pula, tentera Zionis menyerbu bandar Halhul dan menculik lima penduduk selepas menggeledah rumah mereka. Mereka turut memecah masuk dan menggeledah rumah pemuda Jebril Marrar di Kota Lama al-Khalil, namun tidak menangkap beliau.

Tentera Zionis juga memecah masuk ibu pejabat jawatankuasa pembinaan al-Khalil berdekatan Masjid Ibrahimi, merosakkan peralatan dan merampas dokumen dan peta.

Dalam kejadian di Beit Lahm, tentera Zionis bertempur dengan penduduk Palestin di bandar Beit Fajjar di mana seorang pemuda diculik.

Pertempuran juga tercetus di bandar Birzeit di utara Ramallah.

Sehingga April lalu, seramai 6,036 penduduk Palestin dikurung dalam penjara Zionis.

(PIC, Maan, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts