21 Penduduk Palestin Diculik

TULKAREM, 6 Nov 2017 — Sekurang-kurangnya 21 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak diculik oleh tentera penjajah Zionis di beberapa wilayah Tebing Barat dan al-Quds malam tadi.

Dalam kejadian di wilayah Tulkarem, tiga orang diculik selepas pasukan tentera memecah masuk dan menggeledah rumah mereka, termasuk Iyad Jarad, 50, dan Mohamed Abu Saqafa, 16, iaitu anak kepada syuhada Muhannad Abu Saqafa.

Pada masa yang sama wanita Zeinat Halaykah, 50, suaminya Adel dan adiknya Ali turut diculik dari rumah mereka di bandar al-Shoyoukh, di al-Khalil. Tentera dilaporkan membuat kerosakan di dalam rumah Zeinat dan merampas dua unit telefon bimbit serta sejumlah wang tunai.

Zeinat mempunyai lima orang anak. Adiknya Hamza sedang menjalani hukuman penjara selama 17 tahun.

Sementara itu jip-jip tentera Zionis menyerbu bandar Yamon di timur wilayah Jenin di awal pagi. Tentera memecah masuk dan menggeledah tumah penduduk.

Manakala di barat laut wilayah Ramallah, pertempuran tercetus di bandar Beit Rima apabila tentera Zionis memecah masuk dan menggeledah rumah penduduk.

Pertempuran juga tercetus di kem pelarian al-Azza di wilayah Beit Lahm, di mana dua pemuda diculik.

Di kota al-Quds, wanita Huda Odah diculik dari rumahnya di kejiranan Ein al-Louza di bandar Silwan dan dilarikan ke pusat interogasi al-Maskobiyya. Beliau adalah isteri kepada tahanan Mohammad Odah yang sedang menjalani enam hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan 40 tahun lagi, atas tuduhan terlibat dalam serangan bom di Universiti Hebrew pada tahun 2002.

Sementara penduduk Gaza Khaldoun Abu Salim ditangkap di pintu lintasan Erez ketika cuba menyeberang sempadan, walaupun beliau mempunyai permit sah untuk melintas.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts