Pendirian Hamas seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri Ismail Haneyya tidak pernah berubah semenjak Hamas mengemukakan formula penyelesaian politiknya. Bahkan inilah pendirian Hamas yang dipertahankan ketika memenangi pilihanraya legislatif Palestin yang pertama pada awal 2006. Prinsip-prinsip ini yang mengundang kemarahan US dan sekutu-sekutunya yang terus mendesak agar Hamas menghentikan penentangan untuk membebaskan Palestin dari pendudukan haram zionis, mengiktiraf Israel dan menghormati semua perjanjian damai yang dimeterai di antara regim zionis dan pihak berkuasa Palestin. Hakikatnya tunduk kepada ugutan-ugutan ini hanya membawa satu maksud iaitu berlanjutannya atau berkekalannya pendudukan zionis dan penafian berterusan hak rakyat Palestin. Prinsip-prinsip tersebut adalah ‘National Constant’ yang tidak boleh dipertaruhkan. Akibatnya berlakulah sekatan ekonomi yang komprehensif dan ini disusuli pula dengan kepungan yang melumpuhkan Gaza sejak tahun 2007 dan berterusan pula dengan serangan biadap dan kebinatangan Israel ke atas Gaza pada akhir tahun 2008 dan permulaan tahun 2009.
Pendirian Hamas ini juga bukanlah sekadar slogan-slogan politik untuk menjuarai perjuangan pembebasan Palestin. Hamas tidak pernah melihat perjuangan mereka sebagai milik ekslusif Hamas dan sentiasa mencari ruang bagi meletakkan perjuangan mereka sebagai agenda nasional. Kerana itu langkah pertama setelah memenangi pilihanraya ialah mempelawa semua parti politik termasuk Fatah untuk membentuk kerajaan campuran. Pelawaan ini malangnya ditolak oleh Fatah yang lebih rela tunduk kepada tekanan luar. Meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh US dan Israel untuk menggagalkan perpaduan di kalangan Palestin, terbentuk juga Kerajaan Perpaduan Palestin hasil dari Perjanjian Mekah 2007. Malangnya kerajaan perpaduan ini berakhir, sekali lagi akibat dari makar yang dirancang oleh US dan Israel melalui agen-agen upahannya di kalangan Palestin sendiri. Kini meskipun kerajaan Hamas menderita akibat serangan Israel di Gaza yang sekali lagi menyaksikan persekongkolan di antara regim zionis dengan sekutu-sekutunya dari pemimpin Arab samada di Tebing Barat dan negara-negara Arab yang berjiran, Hamas tidak berhenti dari menyeru kepada perpaduan seluruh rakyat Palestin.
Apakah ini tidak cukup sebagai testimoni murni perjuangan Hamas?
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Pusat Kecemerlangan Palestin