GAZA, 3 Jan 2016 (PIC) — Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCPS) mengesahkan bahawa tahun 2015 menyaksikan peningkatan ketara dalam penangkapan ke atas wanita Palestin, terutamanya di al-Quds.
Laporan PCPS merekodkan 291 kes tangkapan ke atas wanita Palestin, termasuk remaja dan kanak-kanak perempuan, wanita berumur lebih 60 tahun, dan ibu atau isteri para tahanan. Tangkapan ke atas Malak Khatib, 14 tahun, yang dipenjara selama tiga bulan merupakan salah satu kes yang mendapat perhatian.
Satu fenomena baharu yang diamalkan oleh rejim Zionis pada tahun 2015 ialah menangkap wanita atas tuduhan kesalahan menghasut melalui tulisan di laman jaringan sosial.
Tangkapan secara besar-besaran ke atas wanita Palestin menyebabkan penjara Hasharon tidak dapat menampung bilangan tahanan, sehingga pihak rejim penjajah terpaksa membuka seksyen baharu khusus untuk tahanan wanita di penjara Damon.
Damon merupakan penjara terburuk, di mana para tahanan terpaksa melalui keadaan yang sangat teruk dan dikawal sepenuh masa melalui kamera keselamatan.