3 pemuda Palestin cedera ditembak, 48 ditangkap

NABLUS, 17 Mei 2017 (Maan) — Tiga orang pemuda Palestin cedera dan 48 yang lain ditangkap dalam pertempuran yang tercetus di beberapa wilayah Tebing Barat.

Tentera Zionis menangkap enam pemuda dari kem pelarian Askar di timur kota Nablus dan seorang lagi dari bandar Qabatiya di selatan Jenin.

Beberapa buah rumah penduduk di timur Nablus dipecah masuk dan digeledah. Tentera turut menyerbu masuk dan bertempur di kawasan al-Bayader di bandar Sebastia, utara Nablus.

Dalam kejadian lain, segerombolan pendatang Yahudi bertindak ganas mengugut pemandu Palestin di laluan masuk bandar Huwara di selatan Nablus, beberapa jam selepas pemuda Palestin menutup sebahagian daripada laluan di pusat bandar Huwara dalam demonstrasi solidariti tahanan mogok lapar.

Tiga lagi pemuda ditangkap dari bandar Tuqu’ di selatan Beit Lahm dan seorang lagi dari bandar Husan.

Lebih 100 askar Zionis menyerbu bandar Tayasir di timur kota Tubas dan memecah masuk puluhan buah rumah penduduk. Serbuan turut dilakukan di Jenin, di mana empat penduduk bandar Zababdeh dan seorang penduduk Qabatiya ditangkap.

Di wilayah al-Khalil, dua pemuda ditangkap dari kem pelarian al-Arroub dan bandar Bani Na’im.

Sejak awal tahun 2017, tentera Zionis melakukan purata 70 serbuan ke perkampungan atau bandar Palestin setiap minggu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts