35 terkorban, 4,279 cedera sejak bermula Great Return March

GAZA, 18 Apr 2018 — Laporan Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan seramai 35 penduduk Gaza telah terkorban dan 4,279 yang lain termasuk 642 kanak-kanak dan 243 wanita tercedera sejak bermulanya kempen Perarakan Pulang Besar-Besaran (Great Return March – GRM) 30 Mac lalu.

Tentera Zionis masih menahan dua jenazah mangsa yang ditembak berdekatan pagar sempadan Gaza.

Menurut laporan tersebut, seramai 1,539 mereka yang tercedera ditembak dengan peluru hidup, 388 orang terkena tembakan peluru getah, 1,878 lagi mengalami sesak nafas akibat serangan gas pemedih mata, dan 478 yang lain mengalami berbagai kecederaan lain.

Seramai 134 orang yang tercedera dirawat di hospital dalam keadaan kritikal, 1,183 orang yang lain mengalami kecederaan sederhana dan 2,962 mendapat kecederaan ringan.

Kementerian turut mendedahkan bahawa seramai 196 orang mangsa ditembak di bahagian leher dan kepala, 384 orang lagi ditembak di bahagian atas anggota badan, dan 96 di bahagian belakang dan dada.

Tentera Zionis turut mencederakan 44 orang petugas paramedik dan pertahanan awam Gaza, di mana 19 buah ambulan dan kenderaan perkhidmatan awam rosak ditembak.

Manakala seorang jurnalis, Yaser Murtaja, terbunuh dan 66 yang lain cedera ditembak atau sesak nafas ketika membuat laporan di tempat kejadian.

GRM dilancarkan pada 30 Mac lalu dan akan berterusan setiap hari sehingga 15 Mei, bersempena 70 tahun peristiwa hitam Nakbah.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts