4 buah rumah, sebuah kedai diroboh di kota Baitulmaqdis

KOTA BAITULMAQDIS, 5 Ogos 2020 — Pihak berkuasa rejim Zionis pagi tadi meroboh tiga buah rumah dan sebuah kedai penduduk Palestin, serta memaksa sebuah lagi rumah diroboh oleh pemiliknya sendiri di kota Baitulmaqdis.

Di bandar Silwan, selatan kota Baitulmaqdis, pihak perbandaran Zionis meroboh dua buah rumah milik keluarga adik-beradik Samer dan Sulaiman al-Qaq di kejiranan Ein al-Louza. Turut diroboh adalah rumah milik Sharif Amro dan kedai salun pendandan rambut milik Omar Sheeha.

Manakala di bandar bersebelahannya, Beit Hanina, keluarga Mohammad ‘Alloun dipaksa meroboh rumah mereka sendiri apabila diugut dengan denda berat dan hukuman penjara. Beliau telah berkali-kali memfailkan permohonan permit sejak lebih lapan tahun lalu, namun semuanya gagal. Bahkan beliau telah didenda sebanyak 30,000 Shekel (RM26,000).

Sehingga pertengahan tahun 2020, sebanyak 74 buah rumah telah dirobohkan di kota suci itu, 30 daripadanya diroboh oleh pemilik.

(Palinfo)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts