4 terkorban, hampir 1,000 cedera pada hari Jumaat ke-5 GRM

GAZA, 28 Apr 2018 — Seramai empat penduduk Gaza terbunuh dan hampir 1,000 yang lain cedera dalam perhimpunan pada hari Jumaat kelima Great Return March (GRM) di sempadan Gaza.

Hampir 200 daripada mangsa yang cedera ditembak dengan peluru hidup, di mana 11 daripada mereka berada dalam keadaan parah.

Kementerian Kesihatan Palestin hari ini mengumumkan Azzam Oweida, 15, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di Khan Younis semalam. Beliau merupakan kanak-kanak kelima terbunuh sejak bermulanya GRM pada 30 Mac lalu.

Seorang lain mangsa, Abd al-Salam Eid Zuhdi Baker, 33, meninggal dunia selepas ditembak di bahagian perut di Khan Younis.

Sementara dua lagi pemuda, Khalil Naim Mustafa Atallah, 22, dan Muhammad Amin Ahmad al-Muqid, 21, terbunuh ditembak ketika menaikkan bendera Palestin di atas pagar sempadan di timur Kota Gaza. Muhammad Amin ditembak di bahagian kepala.

Pemuda Hatem Abd al-Latif al-Talbani, 20, berada dalam keadaan kritikal apabila ditembak dengan peluru gas pemedih mata di bahagian mukanya di timur kem pelarian al-Buriej.

Seramai empat orang jurnalis, Abdul-Rahman Al-Kahulot, Iyad Abu Ghaza, Hassan Yousef dan Lana Shaheen turut cedera apabila disasarkan dengan tembakan sniper dan peluru gas pemedih mata. Abdul-Rahman, 24, ditembak dengan peluru hidup di bahagian kakinya walaupun beliau memakai vest bertanda “PRESS” dan topi keselamatan bertulis “TV”.

Di samping itu, tentera Zionis turut menyasarkan beberapa lokasi perkhidmatan perubatan dengan tembakan gas yang tidak diketahui jenisnya, yang menyebabkan mangsa mengalami kekejangan. Paramedik Mazen Jibril Hasna, 32, ditembak dengan peluru hidup ketika sedang membawa mangsa yang cedera di timur Kota Gaza.

Serangan tentera Zionis dalam perhimpunan GRM, yang kini memasuki minggu kelima, menyebabkan 45 orang maut dan 5,500 yang lain cedera. Tiada sebarang kecederaan di pihak Zionis.

(Maan, MEMO, EI)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts