50 pasangan Palestin langsungkan perkahwinan di Istanbul

ISTANBUL, 12 Dis 2015 (WorldBulletin) — 50 pasangan Palestin melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis di Istanbul malam tadi, sungguhpun sebahagian daripada mereka hanya dapat bertemu pasangan dari jauh melalui talian internet.

Mohammed Abu Taqiya, 26 tahun, adalah salah seorang pengantin lelaki yang hanya dapat melihat isterinya melalui Skype ketika hari besar perkahwinan mereka. “Isteri saya tidak dapat hadir majlis perkahwinannya sendiri kerana beliau berada di Gaza, di sebalik pintu sempadan yang tertutup rapat,” kata Mohammed.

Beliau yang merupakan seorang graduan Universiti Ege di wilayah Izmir, Turki, menjelaskan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan isterinya. Ibunya menyusun jodoh mereka beberapa bulan lalu apabila beliau menyatakan hasrat untuk berumah tangga. Dengan izin dari keluarga mereka, pasangan muda itu mula berinteraksi dan akhirnya memutuskan untuk berkahwin, walaupun faham benar bahawa majlis perkahwinan mereka terpaksa dibuat beribu batu jauhnya.

Sebahagian daripada pasangan yang lain lebih bernasib baik. Pasangan Celil Selmi dan isterinya bertuah kerana dapat bersama di hari kebesaran mereka, tetapi tidak seorangpun ahli keluarga mereka dapat hadir kerana tidak dibenarkan keluar dari wilayah Palestin. “Mungkin 50 tahun lagi, saya akan dapat mengadakan majlis bersama keluarga saya di Palestin,” kata Celil.

Dalam majlis perkahwinan tersebut, setiap pasangan diberi hadiah 15,000 Lira Turki (RM22,150) bagi memulakan hidup baharu mereka.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts