58 maut, lebih 2,700 cedera di sempadan Gaza

GAZA, 15 Mei 2018 — Sekurang-kurangnya 58 penduduk Palestin termasuk lapan kanak-kanak ditembak mati oleh tentera Zionis dan lebih 2,700 yang lain cedera dalam perhimpunan di kawasan sempadan timur Gaza hari ini.

Perhimpunan tersebut adalah bagi meneruskan kempen Great Return March, menuntut hak pelarian Palestin kembali ke tanah asal mereka, serta membantah pembukaan pejabat kedutaan Amerika di kota suci Baitulmaqdis.

Kenyataan Kementerian Kesihatan setakat jam 9:30 malam menyebut bahawa seramai 2,771 orang tercedera, di mana 918 orang cedera terkena tembakan peluru hidup, 746 orang mengalami masalah pernafasan serangan gas pemedih mata, 98 orang terkena serpihan tembakan, dan lima yang lain ditembak dengan peluru getah.

Seramai 40 orang mengalamai kecederaan parah.

Turut terkorban adalah bayi berumur lapan bulan, Laila al-Ghandour, yang meninggal dunia setelah sesak nafas akibat serangan gas pemedih mata berkelajuan tinggi.

Sekurang-kurangnya 203 daripada mereka yang tercedera adalah kanak-kanak, dan 78 yang lain adalah wanita.

Dua orang petugas perubatan dan empat orang anggota keselamatan turut terkorban. Manakala empat petugas perubatan dan 12 orang jurnalis dilaporkan tercedera.

Perhimpunan dijangka berterusan sehingga hari Selasa sebagai memperingati ulangtahun ke-70 peristiwa hitam Nakba.

(IMEMC, MEMO, PIC, WAFA)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts