66 penduduk Palestin diculik

JENIN, 23 Okt 2017 — Sekurang-kurangnya 66 penduduk Palestin diculik dari wilayah al-Quds dan Tebing Barat dalam tempoh kurang 24 jam lalu.

Puluhan kenderaan tentera yang diiring dengan sebuah helikopter menceroboh masuk bandar al-Issawiya di timur al-Quds, di mana seramai 45 pemuda telah diculik.

Tentera Zionis turut menyerahkan arahan interogasi kepada tiga bekas tahanan termasuk peguam wanita Shireen al-Issawi yang baharu dibebaskan minggu lalu setelah dikurung selama 43 bulan.

Pasukan peronda tentera turut menyerbu kejiranan al-Matar bersebelahan kem pelarian Qalandiya di utara al-Quds, memecah masuk rumah penduduk serta mencetus kekecohan.

Di selatan wilayah al-Khalil, ahli keluarga al-Rajabi dikejarkan ke Hospital al-Muhtasib untuk mendapatkan rawatan kecemasan setelah tentera Zionis menghujani rumah-rumah penduduk dengan tembakan grenad gas pemedih mata.

Pada masa yang sama, empat penduduk Palestin diculik dari wilayah Jenin di utara Tebing Barat. Pasukan tentera menyerbu kota Jenin pada jam 3:00 pagi dan naik ke bumbung-bumbung rumah sebelum merosakkan beberapa buah rumah lain. Tiga pemuda diculik, termasuk bekas tahanan Faraj al-Sanouri yang dibebaskan dua bulan lalu.

Tentera Zionis turut memasang sekatan jalan di laluan utama ke bandar Yaman di barat Jenin, di mana penduduk Palestin disekat dan disoal-siasat.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts