AL-QUDS,17 Sep 2015 — Rejim Zionis telah meluluskan penggunaan senapang sniper bagi menembak rakyat Palestin yang membaling batu di Al-Quds.
Laporan Channel 10 pagi ini mendedahkan bahawa pemimpin Zionis, Benyamin Netanyahu, dalam pengisytiharan perang ke atas pembaling batu telah mengarahkan peguam negaranya, Yehuda Weinstein, supaya memberi kuasa kepada polis menggunakan sniper sepertimana yang digunakan oleh tentera.
Tentera Zionis dilarang menggunakan senapang sniper Roger dalam pertempuran Intifadah Al-Aqsa apabila ramai pemuda Palestin terkorban. Ia kemudiannya dibenarkan untuk digunakan semula.
Zionis juga meluluskan undang-undang bagi menangkap kanak-kanak di bawah umur 10 dan lima tahun, di samping denda sehingga 100,000 Shekels (US$26,000). Kenyataan Netanyahu menyebut bahawa kanak-kanak Palestin yang membaling batu ke arah tentera Zionis layak dihukum penjara dalam tempoh yang lama, dan penjaga mereka mesti membayar denda.
Mereka yang dituduh membaling batu juga boleh dibuang daerah keluar dari kawasan Al-Quds.
(Alray | IMEMC)