
MANAMA, 2 Dis 2018 — Rumusan Persidangan Menteri-Menteri Kebudayaan Islam dalam sesi tergempar di Bahrain pada hari Khamis lalu mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibukota kekal bagi kebudayaan Islam.
Persidangan tersebut menerima pakai satu dokumen program tindakan bagi mengukuhkan sokongan dunia Islam dan antarabangsa dalam memelihara warisan budaya Baitulmaqdis.
Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO), Abdulaziz al-Tuwaijri, menyebut bahawa kota Baitulmaqdis terdedah kepada rancangan Yahudisasi yang sistematik dan perubahan dalam kebudayaan dan ketamadunannya. Beliau menekankan pentingnya solidariti yang berkesan dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa untuk melindungi hak-hak bangsa Palestin dan dunia Islam di Baitulmaqdis.
Dalam persidangan Menteri-Menteri Kebudayaan Arab sebelum ini, kota Baitulmaqdis telah diterima sebagai ibukota kekal bagi kebudayaan Arab.
(PIC)



