Netanyahu akan jalin hubungan rasmi dengan Arab Saudi

BAITULMAQDIS, 10 Dis 2018 — Pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu, akan mengambil apa jua langkah bagi memastikan hubungan rejimnya dengan Arab Saudi menjadi satu jalinan rasmi dan umum menjelang pilihanraya umum akan datang.

Laporan TV Hadashot malam semalam menyebut pihak Amerika dan ketua badan perisikan Mossad, Yossi Cohen, terlibat dalam usaha diplomatik untuk tujuan tersebut.

Rejim Zionis turut mengadakan perbincangan dengan beberapa negara Arab lain, dengan mengambil kesempatan atas kepentingan bersama dalam menghadapi ancaman Iran.

Sejak beberapa tahun lalu Netanyahu cuba membina hubungan erat dengan dunia Arab, dengan menegaskan bahawa di samping Iran menjadi musuh mereka bersama, negara-negara terbabit juga mempunyai kepentingan dalam isu keselamatan dan perkembangan industri perang yang berteknologi tinggi.

Oktober lalu, Oman mengalu-alukan kunjungan Netanyahu sekaligus memberi isyarat kemajuan dalam hubungan normalisasi dengan negara teluk itu, sungguhpun mendapat kecaman antarabangsa.

Rejim Zionis juga berusaha membina hubungan dengan Bahrain.

Netanyahu dilaporkan turut mendesak Amerika supaya tidak menghentikan dukungan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, susulan isu pembunuhan jurnalis Jamal Khashoggi di Istanbul.

Laporan The Washington Post menyebut, Netanyahu menegaskan kepada Presiden Amerika Donald Trump bahawa Mohammed adalah seorang rakan strategik utama dan merupakan kunci kepada pakatan yang menentang pencabulan Iran di rantau tersebut.

Dalam komentar beliau tentang pembunuhan Khashoggi, Netanyahu menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai “mengerikan” namun beliau menegaskan bahawa “demi kestabilan rantau dan dunia, ianya adalah sangat penting untuk memastikan bahawa Arab Saudi kekal stabil.”

Bagaimanapun, ramai ahli-ahli politik dari kalangan Demokrat di Washington menjadi berang dengan sikap Netanyahu mempertahankan Arab Saudi.

Selepas diberi penerangan oleh Pengarah CIA Dina Haspel, senator-senator Amerika minggu lalu menyatakan keyakinan bahawa Mohammed telah terlibat dalam pembunuhan Khashoggi.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts