
NABLUS, 13 Dis 2018 — Tentera penjajah Zionis membunuh pejuang Palestin, Ashraf Waleed Suleiman Na’alwa, 23, dalam satu operasi bersepadu pasukan tentera khas, briged Yamam, bersama polis dan badan perisikan Shin Bet di kem pelarian Askar di kota Nablus awal pagi tadi.
Ashraf adalah suspek yang menembak mati dua pendatang Yahudi di kawasan industri Barkan dalam penempatan haram Ariel, berdekatan kota Salfit, pada 7 Oktober lalu.
Beliau dikatakan berbalas tembakan dengan pasukan Zionis di sebuah rumah di kem pelarian Askar, timur Nablus, sebelum ditembak mati.
Sebelum menyerang, tentera Zionis mengejar Ashraf selama beberapa jam sehingga tiba di rumah tersebut. Tentera Zionis menggunakan anjing-anjing untuk mengepung bangunan, sebelum menggempur masuk sambil melepaskan tembakan.
Dua lelaki Palestin bersama ibu mereka yang tinggal dalam bangunan tersebut ditangkap.
Dalam tempoh dua bulan memburu Ashraf, tentera Zionis menggempur beberapa bandar dan perkampungan di Tebing Barat, memecah masuk dan menggeledah rumah, serta menangkap ahli keluarga serta saudara-mara Ashraf, dan juga pemuda-pemuda Palestin bagi mengumpul maklumat untuk menjejak beliau.
Shin Bet mendakwa lokasi persembunyian Ashraf diperolehi dari mereka yang diinterogasi.
(PIC, IMEMC)



