Afghanistan sumbang $US 1 juta untuk pelarian Palestin

ISTANBUL, 3 Mac 2019 – Sungguhpun rakyatnya sendiri lebih memerlukan bantuan berbanding penduduk Palestin, kerajaan Afganistan tetap berkorban untuk membantu pelarian Palestin yang berhadapan dengan krisis dana UNRWA.

Duta Afghanistan ke Turki, Abdul Rahim Sayed, menyerahkan sumbangan bernilai $US 1 juta kepada Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Pierre Krahenbuhl, dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, di Istanbul.

Afghanistan dilanda kemiskinan selama lebih satu-setengah dekad, selepas kempen kententeraan yang dipimpin oleh Amerika untuk menjatuhkan pemerintahan Taliban pada tahun 2001.

Kajian yang dijalankan oleh Kesatuan Eropah dan Organisasi Statistik Pusat Afghanistan pada Mei 2018 menunjukkan kadar kemiskinan di negara Asia Selatan itu mencecah 55% sepanjang tahun 2018-17 – di mana lebih separuh daripada penduduknya hidup dengan kurang satu Dolar sehari.

Kenyataan Abdul Rahim menyebut bahawa rakyat Afghanistan amat maklum tentang keperitan yang dialami oleh penduduk Palestin, dan beliau menyeru semua negara terutama dari kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terus membantu Palestin.

UNRWA membantu sekitar 5.4 juta pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah. Ia ditubuhkan pada tahun 1949 untuk membantu dan melindungi pelarian-pelarian Palestin di Jordan, Syria, Lubnan, Tebing Barat dan Gaza.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts