AL-QUDS, 10 Mei 2016 (PIC) — Mahkamah daerah Zionis di al-Quds menyabitkan Ahmed Manasra, 14, bersalah dalam dua cubaan membunuh seorang pendatang Yahudi di penempatan haram Pisgat Zeev di timur al-Quds pada 12 Oktober tahun lalu.
Ahmed berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Ahmad yang berumur 13 tahun ketika kejadian, cedera parah dilanggar oleh seorang pemandu Yahudi selepas disyaki cuba menikam. Rakaman video memaparkan kanak-kanak tersebut terbaring kesakitan selepas dilanggar dan penduduk Yahudi yang berada di tempat kejadian hanya memaki hamun sambil mendesak polis Zionis supaya menembak beliau.
Saudara beliau, Hasan Manasra, 15, ditembak mati dalam insiden tersebut. Jenazah Hasan masih ditahan oleh rejim Zionis hingga kini walaupn mahkamah telah mengarahkan supaya diserahkan kepada keluarganya.
November lalu, rakaman video menunjukkan pegawai polis Zionis mencerca dan mengugut Ahmad ketika sesi interogasi supaya beliau mengaku cuba membunuh Yahudi.
Mahkamah Zionis beberapa kali menangguhkan perbicaraan ke atas Ahmad. Langkah tersebut dilihat sebagai cubaan untuk menunggu sehingga mangsa mencapai umur 14 tahun, di mana beliau cukup dewasa di bawah undang-undang Zionis untuk dihukum penjara.