Al-Araqib Dimusnahkan Buat Kali Ke-80

BEERSHEBA, 14 Jan 2015 (Ma’an) — Pihak berkuasa rejim Zionis hari ini memusnahkan beberapa struktur besi bangunan milik penduduk Palestin di pekan al-Araqib di daerah Gurun Naqab (Negev) buat kali ke-80.

Tentera Zionis memasuki kawasan al-Araqib setelah kebanyakan lelaki keluar ke tempat kerja, seterusnya menghalang semua jalan keluar-masuk ke kawasan tersebut. Pasukan jentolak yang dikawal oleh pasukan polis dan tentera Zionis turut merobohkan beberapa bangunan di kawasan perindustrian di pekan Rahat.

Kedua-dua pekan tersebut dihuni oleh kebanyakannya masyarakat Badwi Palestin.

Al-Araqib telah berkali-kali menjadi sasaran pihak berkuasa Zionis sejak tahun 2010. Rejim Zionis menganggap al-Araqib dan kebanyakan perkampungan Arab di Gurun Naqab sebagai tidak sah, tetapi masyarakat Badwi mendakwa mereka mewarisi kawasan tersebut dari nenek moyang dan mereka berhak untuk tinggal di situ.

Penduduk al-Araqib telah berkali-kali berpindah ke kawasan tanah perkuburan dan terpaksa tinggal di situ dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk, apabila pihak Zionis merobohkan sebahagian besar daripada bangunan dan infrastruktur di pekan tersebut. Rejim Zionis memberi jaminan bahawa kawasan perkuburan tidak akan dimusnahkan.

Terdapat sekitar 260,000 orang Badwi di dalam negara haram Zionis, kebanyakannya tinggal di dalam dan di sekitar Gurun Naqab. Lebih separuh daripada mereka tinggal di kawasan perkampungan yang tidak diiktiraf, tanpa sebarang kemudahan asas dan hidup dalam keadaan yang sangat miskin.

Al-Araqib merupakan salah satu daripada 40 kawasan perkampungan di Gurun Naqab yang tidak diiktiraf oleh rejim Zionis atas alasan bahawa seramai 53,000 orang Badwi yang tinggal di situ tidak mempunyai bukti dokumen pemilikan tanah. Zionis merancang untuk membina penempatan baru Yahudi di atas runtuhan perkampungan yang dikatakan tidak sah itu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts