Amerika sekat resolusi PBB mengecam perobohan Sur Baher

NEW YORK, 25 Jul 2019 — Amerika Syarikat semalam menyekat usaha Kuwait, Indonesia dan Afrika Selatan untuk membawa usul supaya Majlis Keselamatan PBB menerima satu resolusi mengecam tindakan rejim Zionis merobohkan rumah-rumah penduduk Palestin di bandar Sur Baher, di pinggir timur kota Baitulmaqdis.

Rejim Zionis merobohkan dan meletupkan 18 buah bangunan kediaman yang terletak dalam wilayah Tebing Barat itu tanpa menghiraukan kritikan dan kecaman masyarakat antarabangsa. Mereka mendakwa bangunan apartmen dan rumah-rumah terbabit dibina berdekatan dengan Tembok Pemisah, sehingga mengancam keselamatan pendatang Yahudi.

Deraf kenyataan lima paragraf itu telah diedarkan kepada semua 15 ahli Majlis Keselamatan PBB pada hari Selasa, mendakwa tindakan rejim Zionis itu menggugat usaha penyelesaian secara “dua negara” dan mengancam sebarang peluang keadilan dan keamanan. Ia telah dipersetujui dengan sebulat suara, dan pada hari Rabu pihak Amerika memaklumkan ahli-ahli majlis tidak dapat menyokong teks kenyataan tersebut sebelum ia ditulis semula menjadi tiga paragraf. Namun selepas ditulis semula, pihak Amerika menolak teks tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Politik dan Keamanan PBB, Rosemary DiCarlo, dalam ucapan beliau di Majlis Keselamatan Selasa lalu mendesak supaya rejim Zionis menghentikan semua perobohan dan rampasan rumah-rumah di Baitulmaqdis dan Tebing Barat. Beliau mengesahkan bahawa tidakan rejim Zionis di Sur Baheer itu mencabul undang-undang antarabangsa.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts