AOHR UK: Penutupan Pintu Rafah adalah satu jenayah kemanusiaan

LONDON, 7 Sep 2016 (PIC) — Pertubuhan Hak Asasi Manusia Arab di United Kingdom (AOHR UK) hari ini mengecam penindasan yang diamalkan oleh para pegawai Mesir ke atas penduduk Gaza yang perlu melintasi sempadan di Pintu Rafah.

Minggu lalu, seramai 3,000 bakal haji dari Gaza telah dibenarkan melintas sempadan untuk menuju ke Mekah.

Seramai 1,000 orang lain dibenarkan keluar dari Gaza pada hari Sabtu, Ahad dan Selasa. Manakala 2,500 orang yang terkandas dalam wilayah Mesir dibenarkan memasuki Gaza.

Bagaimanapun lebih 3,000 orang masih menunggu pintu lintasan dibuka semula untuk meninggalkan Gaza, manakala ribuan yang lain masih terkandas dalam wilayah Mesir.

AOHR mendedahkan bahawa penduduk Palestin dilayan secara buruk dan hina oleh pegawai-pegawai Mesir di pintu lintasan Rafah, di mana mereka dipaksa menunggu sehingga sepanjang hari di luar pagar dalam keadaan panas. Semalam, tentera Mesir melepaskan tembakan ke udara sehingga mencetus suasana takut dan panik, terutama dari kalangan wanita dan kanak-kanak.

Untuk melintas sempadan, penduduk Gaza harus melalui 20 sekatan pemeriksaan di mana mereka akan diperiksa secara mengaibkan.

Sebahagian daripada mereka dipaksa membayar rasuah sehingga US$3,000 kepada tentera Mesir supaya membantu proses lintasan.

AOHR menyeru pihak antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Mesir bagi membuka sepenuhnya pintu lintasan di Rafah, yang merupakan satu-satunya pintu lintasan yang tidak melibatkan kuasa rejim Zionis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts