Api Zionis terus membakar al-Quds dan al-Aqsa sejak 47 tahun lalu

AL-QUDS, 22 Ogos 2016 (PIC) — Beberapa pemimpin dan tokoh agama Palestin hari ini berkumpul di bandar al-Tour di timur al-Quds bagi memperingati peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa 47 tahun lalu.

Dalam sidang media, Mufti Besar al-Quds Sheikh Muhammad Hussein berkata bahawa pencabulan rejim Zionis, termasuklah menahan dan membunuh penduduk Palestin di atas perkarangan Masjid al-Aqsa, memberi laluan kepada pelampau Yahudi menceroboh masuk, serta memusnahkan rumah-rumah di al-Quds yang terjajah, adalah merupakan “satu lagi jenis api yang terus membakar Masjid al-Aqsa dan kota al-Quds sejak 47 tahun lalu.”

Gabenor Palestin bagi al-Quds, Adnan al-Husseini, pula menyebut bahawa kegagalan untuk menyelesaikan isu al-Quds sehingga ke hari ini menunjukkan kelalaian terhadap perjuangan Palestin dan kurangnya kesedaran tentang bahaya yang sedang dihadapi oleh al-Aqsa.

“Kita masih dapat menghidu bau api yang mula membakar 47 tahun lalu, dalam bentuk penggalian, pencerobohan masuk, terowong rahsia, penculikan secara rambang, dan perampasan secara tiba-tiba yang dilakukan oleh pihak rejim,” kata al-Husseini. “Al-Aqsa bukan sekadar dinding-dinding dan kubah. Ia adalah sebahagian daripada keimanan dalam Islam. Nilainya jauh lebih mendalam daripada batu-batuan. Al-Aqsa adalah sumber kemuliaan dan degup jantung umat Islam.”

Ketua Akademi Sains dan Warisan al-Aqsa, Sheikh Najeh Bkeirat, menyeru bangsa Arab dan umat Islam supaya bergabung dalam usaha membebaskan al-Quds dan al-Aqsa.

47 tahun lalu, seorang pelancung Yahudi dari Australia, Denis Michael Rohan, membakar Masjid al-Aqsa. Serangan tersebut adalah salah satu daripada cubaan yang dilakukan sejak mereka menjajah al-Quds Timur pada tahun 1967.

Pada bulan April 1982, seorang askar Zionis melepaskan tembakan secara rambang ke arah para jamaah di dalam masjid suci itu, sehingga membunuh dua orang ahli jemaah dan mencederakan enam yang lain.

Manakala pada bulan Oktober 1990, polis Zionis membunuh 21 ahli jamaah dan mencederakan puluhan yang lain dalam pertempuran yang dicetuskan oleh pelampau Yahudi ketika mereka cuba meletakkan batu asas kuil mereka di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Pihak berkuasa rejim dalam pada itu membuat penggalian di sekitar Masjid al-Aqsa tanpa mendedahkan hakikat sebenar kerja-kerja di bawah tanah itu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts