Argentina batal perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan Zionis

BAITULMAQDIS, 5 Jun 2018 — Presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin (PFA) dan pemain bintang Argentina mengumumkan bahawa perlawanan bolasepak persahabatan di antara Argentina dan pasukan Zionis di kota Baitulmaqdis terpaksa dibatalkan.

“Dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Israel di kota Baitulmaqdis (Barat) yang terjajah, Persekutuan Bola sepak Argentina (AFA) mengambil risiko membatal kelayakan serta kredibiliti negaranya untuk menjadi tuan rumah Pila Dunia 2030,” kata Presiden PFA, Jibril al-Rajoub.

Perlawanan tersebut dijadikan sebagai alat kepentingan politik rejim Zionis, yang mendesak ianya diadakan di Baitulmaqdis. Awalnya, ia dijadualkan berlangsung di Haifa. Tindakan ini bakal membawa mesej kemanusiaan yang mengelirukan kepada masyarakat dunia, kerana tidak mempedulikan jenayah pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Zionis di sempadan Gaza serta pemindahan pejabat kedutaan Amerika ke kota Baitulmaqdis.

Perlawanan yang dijadualkan di stadium Teddy Kollek pada 9 Jun itu merupakan persiapan terakhir Argentina menjelang Piala Dunia 2018 di Rusia.

Kenyataan bintang penyerang Argentina, Gonzalo Higuain, melalui wawancara ESPN hari ini menyebut, “Mereka akhirnya telah mengambil tindakan yang betul.” Kenyataan beliau mengesahkan pembatalan perlawanan tersebut.

Sementara itu Menteri Kebudayaan dan Sukan Zionis, Miri Regev, menuduh “kumpulan pengganas dan boikot” sebagai dalang di sebalik pembatalan tersebut, dan berharap Argentina mengubah fikiran. Benjamin Netanyahu dilaporkan telah menghubungi Presiden Argentina, Mauricio Macri, supaya membatalkan keputusan tersebut dan meneruskan perlawanan.

(MEE, EI)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts