Bagaimana pokok zaitun menjadi sebahagian daripada perjuangan

NABLUS, 30 Okt 2018 — Lebih 57% tanah pertanian di wilayah Palestin ditanam dengan pokok zaitun. Bukan sahaja menjadi sumber pendapatan utama kepada lebih 100,000 keluarga Palestin, pokok zaitun juga merupakan simbol kebangsaan dan hubungan rapat penduduknya dengan bumi barakah itu.

Tidak hairan kenapa pemusnahan pokok-pokok zaitun oleh rejim Zionis dan pendatang Yahudi menjadi sebahagian daripada elemen konflik di Palestin.

Pokok zaitun dipercayai ditanam di wilayah tersebut sejak ribuan tahun lalu, di mana kebun zaitun dan teknologi menghasilkan minyak dikaitkan sejak Zaman Perak antara tahun 3,600 dan 3,300 Sebelum Masihi. Minyak zaitun juga memainkan peranan penting dalam semua agama-agama besar di situ.

Dalam tempoh dari tahun 1,700 hingga 1,900, wilayah Nablus dibangunkan menjadi kawasan pengeluaran utama zaitun, sehinggakan minyak zaitun menjadi ganti kepada matawang.

Selepas menduduki wilayah Palestin, tentera Zionis menyasarkan kebun-kebun zaitun sebagai kaedah utama untuk merampas tanah. Mereka mula memusnahkan kebun-kebun zaitun sejak tahun 1967, di mana sebanyak 830,000 pokok telah dimusnahkan dalam tempoh antara tahun 1967 dan 2009.

Ketika tercetusnya Intifadah Pertama, zaitun menjadi punca pendapatan utama penduduk Palestin. Begitu penting, sehinggakan institusi awam, universiti dan sekolah ditutup di musim menuai supaya semua masyarakat terlibat menuai buah zaitun.

Hari ini, minyak zaitun menjadi komoditi eksport penting bagi Tebing Barat. Ia menjadi jaminan ekonomi untuk kebanyakan kawasan perkampungan di wilayah tersebut.

Pokok zaitun juga menjadi komponen utama tradisi kehidupan petani Palestin. Keluarga dari beberapa generasi akan berkumpul, bersama-sama menuai sepanjang tempoh dua bulan bermula pertengahan September. Ia menjadi pesta atau perayaan bagi keluarga dan masyarakat setempat, yang sering diiringi dengan nyanyian lagu dan tarian tradisi.

Oleh itu, memusnahkan pokok zaitun bukan saja memberi kesan kepada ekonomi bahkan juga tradisi dan identiti penduduk Palestin.

(BHP)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts