Bakal Aktivis Ikuti Latihan Gencar Kesedaran Palestin

BANDAR BARU BANGI, 6 Sept 2014 (BHP) — Seramai 45 bakal aktivis HALUAN Palestin mengikuti latihan intensif bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran untuk menyebarkan permasalahan Palestin yang sebenar kepada masyarakat.

Para peserta ini merupakan wakil cawangan Biro HALUAN Palestin dari seluruh negara yang hadir secara sukarela dan bersedia untuk menggencarkan usaha HALUAN menyebar maklumat tentang Palestin dengan lebih meluas dan berterusan dalam masyarakat Malaysia.

Kursus selama dua hari itu bermula dengan memberi kefahaman tentang kewajipan ke atas setiap umat Islam terhadap bumi Palestin dan masjid al-Aqsa. Dengan kefahaman yang benar dan menyeluruh berpandukan al-Quran, hadith dan sejarah tersebut, barisan bakal aktivis ini akan dapat menerangkan permasalahan Palestin dengan matlamat yang jelas dan penuh komitmen.

Menurut pengarah program, Ustaz Umar Aiman Osman, peserta latihan juga dibekalkan dengan ilmu tentang isu utama Palestin dan dilatih secara amali bagaimana untuk menyampaikan maklumat secara efektif. “Selain daripada mendapat kefahaman tentang sejarah penting Palestin dan kaum Yahudi, mereka juga didedahkan secara intensif tentang tiga isu utama iaitu berkaitan Masjid al-Aqsa, permasalahan di Tebing Barat dan juga apa yang berlaku di Gaza sejak dari awal perancangan jahat Zionis ke bumi Palestin,” terang beliau. Peserta juga dilatih secara amali bagaimana menyampaikan syarahan kepada golongan masyarakat yang berbeza seperti murid sekolah, ahli jemaah masjid dan juga pegawai kerajaan.

Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Mohd Arba’ai Shawal, yang turut mengikuti latihan ini melahirkan keyakinan bahawa semua peserta kini sudah bersedia untuk menjadi aktivis HALUAN Palestin secara aktif. “Saya sangat yakin dengan kemampuan dan persediaan mereka untuk turun berceramah kepada masyarakat. InsyaAllah kita akan mengadakan sesi latihan yang berterusan, kerana kita tidak mahu isu Palestin ini diberi perhatian secara bermusim sahaja, sedangkan keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa tidak pernah berhenti.”

Seorang peserta dari Pulau Pinang, Suhaib Alrumy, melalui latihan amali menyampaikan ceramah tentang permasalahan Palestin.
Antara panel jurulatih yang bekongsi pengalaman mereka dengan peserta.
LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts