Bantuan Diagihkan Di Antakya

HATAY, TURKI, 10 Dis 2014 – Hari pertama pengagihan bantuan kepada pelarian Syria di sempadan Turki telah disempurnakan oleh enam relawan HALUAN dalam kempen Bantuan Musim Sejuk 2014 Untuk Gaza dan Syria.

Hatay, dikatakan wilayah pertanian yang paling subur di Turki, menempatkan lebih 300,000 orang pelarian dan sehingga kini masih menjadi destinasi mangsa-mangsa serangan ganas rejim syiah Bashar Assad di Syria untuk mencari perlindungan serta bantuan. Terdapat lima kem pelarian utama di sini.

Bagaimanapun, ramai pelarian Syria yang tidak mendapat perlindungan di kem-kem pelarian dan terpaksa menyewa rumah, bangunan kedai mahupun gudang untuk dijadikan tempat berteduh keluarga dan anak-anak. Kami dapati mereka ini tidak mendapat bantuan sepertimana pelarian di kem.

Hari ini, pasukan relawan HALUAN memutuskan untuk mengagih bantuan ke kawasan perkampungan di Reyhanli, 40km dari ibu negeri Hatay iaitu Antakya. Reyhanli, yang dipisahkan dengan pagar sempadan Syria, adalah sebuah kawasan pekan lama yang dibina sejak sebelum zaman pemerintahan Uthmaniah. Lebih 60% penduduk di sini adalah berasal dari Syria.

Agihan telah disampaikan kepada 250 buah keluarga yang masing-masing menerima pek makanan dan juga keperluan sanitari.

Relawan HALUAN bergandingan dengan beberapa orang pelarian dan relawan NGO tempatan, Al-Ajial Generations dan Relief and Development, dengan cara bergerak dari rumah ke rumah. Mereka juga memunggah barangan bantuan ke gudang simpanan untuk diagihkan secara berkelompok.

Sepasang warga emas yang dikunjungi relawan HALUAN tidak pernah mendapat sebarang bantuan sejak Ramadhan lalu. Fadhilah dan suaminya Ibrahim yang lumpuh separuh badan tinggal bersama 12 ahli keluarganya.

Keadaan sebegini amat menyayat hati kami. Mereka hanya secebis daripada ribuan mangsa keganasan syiah dalam Syria yang dahulunya mereka ini hidup aman damai dan mampu berdikari. Kini, mereka merempat di bumi orang, terpaksa berlari meninggalkan harta dan rumahtangga yang kini sudah dikuasai rejim syiah serta terasa malu menagih simpati daripada masyarakat antarabangsa. Apakan daya. Suatu keinsafan buat kami para relawan yang menelusuri kem dan penempatan mangsa kekejaman syiah ini. Agar rakyat Malaysia memahami apa itu syiah dan menjauhi generasi kita daripada kesesatannya yang nyata.

Sebuah lagi keluarga tinggal bersama anak dan cucu di dalam rumah yang disewa di atas bangunan kedai. Bakri Mustafa Awwal yang berusia sekitar 70an, turut memelihara cucunya Sundus Muhammad, 7 bulan. Bapa Sundus terkorban dalam serangan di Syria, justeru ibunya terpaksa bekerja di sebuah hospital sungguhpun secara sukarela.

Enam orang wanita terpaksa tinggal di dalam sebuah pondok sempit seluas kira-kira 15 meter persegi. Tidak ada sumber pendapatan dan bantuan untuk mereka yang turut bersama anak-anak kecil itu. Suhu semakin sejuk, merengkoklah mereka dalam kesejukan salji siang dan malam tanpa bahan pemanas. Kami terbayangkan apakah jika ini anak isteri kita di Malaysia – apakah sanggup kita biarkan mereka merempat sebegini sedangkan dahulunya mereka maju segala segi baik ekonomi, perniagaan, status dan pendidikan.

Selesai solat Maghrib sekitar 5:30 malam, relawan HALUAN bertolak pulang ke Antakya, melalui perjalanan gelap di sepanjang sempadan.

Allhamdulillah selesai tugasan hari pertama.

Malam ini para relawan menumpang tidur di pusat pengurusan Al-Ajial. Semoga kesejukan malam di kawasan pertanian berlembah ini akan memberi kekuatan untuk meneruskan tugasan awal pagi esok. Kami menadah tangan ke hadrat Illahi, agar rakyat Syria di kem-kem pelarian ini akan dapat kembali ke bumi tanah tumpah darah mereka kembali. Di suatu hari nanti.

Esok mereka akan mengagihkan bantuan di beberapa kawasan sekitar Antakya dan menziarahi sekolah, maahad tahfiz dan anak-anak yatim Syria di sini.

Teruskan sumbangan anda untuk puluhan ribu lagi anak-anak Syria yang kesejukan dan kelaparan. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
Maybank Berhad : 5622-6350-2611

atau,

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts