Batu Mikraj dibersihkan buat pertama kali sejak era Solahuddin

BAITULMAQDIS, 4 Jun 2018 — Sungguhpun mendapat kekangan berterusan daripada rejim Zionis, masih banyak pembinaan dapat dijalankan dalam Kubah as-Sakhra’ yang terletak di perkarangan tapak suci Masjid al-Aqsa.

Rejim Zionis berusaha gigih menguasai Kubah as-Sakhra’ dengan melarang pekerja-pekerja Jabatan Wakaf di Baitulmaqdis menjalankan tugas mereka.

Antara projek menarik yang berjaya dilaksanakan adalah pembersihan “Batu Mikraj”, iaitu tempat mikraj Rasulullah SAW. Siapa sahaja yang berkunjung ke Kubah as-Sakhra’ akan memberi perhatian kepada batu ini, yang dikelilingi dengan pagar kayu. Nama masjid Kubah as-Sakhra diambil bersempena batu tersebut.

Projek membersihkan batu ini adalah pertama kali dilaksanakan, sejak ia dilakukan oleh Solahuddin al-Ayyubi setelah membebaskan Baitulmaqdis dari kuasa tentera Salib pada tahun 1187.

Batu berukuran 18 meter panjang, 13.5 meter lebar dan 2 meter tinggi ini terletak di tengah-tengah Kubah as-Sakhra’.

Menurut penganut Ortodoks dan Katolik, penganut Kristian menjadikan Kubah as-Sakhra’ sebagai sebuah gereja dan menamakannya sebagai “Holy of Holies” atau “Temple of the Lord”, sebelum Baitulmaqdis dibebaskan oleh Solahuddin. Manakala Batu Mi’raj dijadikan sebagai altar penyembelihan. Mereka menebuk lubang di dalamnya untuk membersihkan darah pemujaan ke dalam gua yang ada di bawahnya.

Setelah dibebaskan, Solahuddin mengembalikan Kubah as-Sakhra’ kepada fungsi asalnya. Baginda membuang altar penyembelihan serta gambar-gambar dan patung-patung. Solahuddin juga memerintahkan kerja-kerja pemulihan yang diperlukan untuk bangunan tersebut.

Pembersihan Batu Mikraj

Pada 29 Mac lalu, Dr. Mohammed Abu Eissa bersama stafnya mula berurusan dengan Pengarah Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, Syeikh Azzam al-Khatib, untuk membersihkan Batu Mikraj, yang memerlukan kerja yang tepat dan perhatian teliti memandangkan ia adalah pertama kali dilakukan sejak bertahun-tahun lamanya.

Dr. Abu Eissa menyebut, “Saya bersama pekerja lain membersihkannya untuk menyambut Ramadan, dengan menggunakan beberapa jenis bahan kimia khusus.” Menurut beliau, setelah dibersihkan oleh Solahuddin, tidak ada siapa yang yang melakukannya selepas itu. “Saya mendapat penghormatan untuk merebut peluang itu. Setelah kami menyelesaikan kerja membaik-pulih sebahagian besar perhiasan Kubah as-Sakhra’ dari arah dalam, kami mula membersihkan batu tersebut. Kami selesai sekitar sebulan yang lalu.”

Mereka memerlukan masa berjam-jam untuk membersihkan satu atau dua meter batu tersebut, kerana bahan-bahan yang digunakan harus dibiarkan selama beberapa waktu untuk menyerap dan mengurai, sebelum dibersihkan secara manual menggunakan peralatan khusus.

Menurut Dr. Abu Eissa, keluasan batu tersebut adalah 243 meter persegi. Warna asalnya nampak luar biasa setelah dicuci secara radikal dengan cara ilmiah oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut.

Terdapat sebuah gua di bawah batu tersebut. Untuk memasuki gua itu, seseorang perlu menuruni tangga di selatan Kubah as-Sakhra’ hingga ke satu terowong yang luas namun tidak teratur, di mana Batu Mikraj menjadi dindingnya. Di dalamnya terdapat dua buah mihrab kecil, iaitu di sebelah kanan (bangunan Umaiyah) dan disebelah kiri (bangunan Fatimiyyah).

Paras tertinggi lelangit gua itu mencapai dua meter. Terdapat lubang berdiameter 30-40cm di situ, yang dikaitkan dengan berbagai mitos termasuklah dakwaan bahawa malaikat Jibril membuat lubang di batu tersebut dengan menggunakan jarinya. Namun hakikatnya adalah, lubang itu telah dibuat pada era kaum Salib ketika mereka mengubah kubah as-Sakhra’ menjadi sebuah gereja.

Sehingga kini, kerja-kerja pemulihan dekorasi mozek di pintu masuk Kubah as-Sakhra’ dan pintu masuk timur masih berjalan. Terdahulu, pemulihan pintu masuk bahagian barat telah disempurnakan.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts