RAMALLAH, 12 Julai 2016 (PIP) — Pelik tetapi benar! Muhammad Taufik Bairat yang tinggal di perkampungan Kafer Malik di timur Ramallah tidak pernah terbayang bahawa anaknya Jihad Muhammad yang telah meninggal dunia 23 tahun lalu ketika berumur dua minggu menjadi seorang buruan pihak perisikan Zionis.
Pasukan tentera Zionis telah memecah masuk rumah keluarga Bairat di awal pagi untuk menyerahkan notis arahan supaya bayi yang telah meninggal dunia itu hadir untuk disoal siasat di sebuah pejabat perisikan di Ramallah.
“Keluarga kami terkejut di awal pagi, apabila pintu rumah diketuk dengan kuat sekali. Kami segera keluar dan tiba-tiba berhadapan dengan 10 orang askar. Mereka bertanya tentang Jihad Muhammad,” kata Muhammad Taufik.
Apabila diberitahu bahawa anaknya itu telah meninggal dunia, komandan Zionis tetap berdegil dan meminta setiap anggota keluarga menyerahkan pengenalan mereka, sebelum menyerahkan notis arahan tersebut kepada Muhammad Taufik sambil mengambil gambar serahan tersebut.
Dalam notis berbahasa Arab dan Ibrani itu, tertulis “Kepada Tuan: Jihad Muhammad Taufik Bairat. Anda diminta hadir ke pejabat perisikan [Zionis] di Ramallah pada 11 Julai 2016.”