Erdogan Seru Dunia Iktiraf Al-Quds Sebagai Ibukota Palestin

ISTANBUL, 13 Dis 2017 — Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyeru supaya semua negara yang menghormati undang-undang antarabangsa mengiktiraf kota al-Quds sebagai ibukota Palestin.

Dalam ucapan beliau di persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul hari ini, Erdogan menegaskan bahawa keputusan Presiden Amerika Donald Trump ke atas kota suci umat Islam itu membawa ancaman kepada seluruh kemanusiaan dan mendesak supaya ianya dibatalkan.

Menurut Erdogan, Trump telah memberi hadiah kepada “rejim penjajah dan pengganas” sebagai balasan sikap serta tindakan ganas mereka ke atas penduduk Palestin.

“Askar pengganas [Israel] menangkap kanak-kanak beumur 10 tahun dan mengurung mereka dalam penjara. Seorang kanak-kanak 14-tahun ditutup matanya oleh sekitar 20 orang askar, dan dipukul dengan pemegang senapang,” kata beliau, merujuk kepada tindakan segerombolan 23 orang askar Zionis yang menangkap Fawzi Muhammad al-Juneidi di kota al-Khalil Jumaat lalu.

Erdogan mendakwa bahawa Amerika mendukung mereka yang ingin menggagalkan perdamaian serta bersekongkol dengan semua fanatik, ketika mengobar peperangan terhadap keganasan.

Beliau memuji sikap semua negara yang enggan mengiktiraf pendirian Amerika itu, serta mengharapkan agar semua 196 ahli PBB membantah tindakan Amerika.

(Sumber: PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts