Fauzi Dibebaskan Setelah Disiksa Tentera Zionis

AL-KHALIL, 28 Dis 2017 — Foto remaja Fauzi Muhammad Junaidi, 16, menjadi sensasi di laman media sosial dan benak warga Palestin. Remaja yang ditangkap oleh segerombolan 23 orang askar Zionis, dihimpit dalam keadaan matanya ditutup dan kedua tangannya diikat ke belakang, mengharungi berbagai bentuk siksaan dan pukulan serta penghinaan, sehingga diabadikan sebagai ikon perjuangan dan penderitaan anak-anak Palestin.

Selepas ditahan selama 20 hari, Fauzi dibebaskan semalam dengan syarat membayar denda sebanyak 10,000 shekel (RM11,733).

Semalam, semua orang menanti kemunculan remaja ini di hadapan pengkalan tentera Ofer. Beliau kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Palestin di Ramallah untuk menjalani pemeriksaan akibat disiksa ketika dalam tahanan. Dilaporkan bahawa tulang bahunya retak.

Kenyataan Fauzi kepada peguam kanak-kanak antarabangsa menyebut bahawa beliau ditangkap di Jalan Wadi Tufah di kota al-Khalil ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan gas pemedih mata dan pertempuran di laluan menuju ke rumah makciknya. Ketika berlari, Fauzi terlanggar seorang askar Zionis yang mula memukulnya dengan kuat, dan beberapa orang askar lain yang bersembunyi di celah bangunan segera menyerbu dan menyerangnya, memukul dengan tangan dan pemegang senjata di bahagian kepala, leher, bahu dan dada, serta menendang beliau selama beberapa minit.

Kemudian mereka menutup mata Fauzi, mengikat tangannya ke belakang dengan tali plastik, menendang beliau lagi sehingga tersungkur ke tanah.

Fauzi kemudian diheret sejauh 30 meter menuju ke kawasan lintasan sempadan Kontainer. “Masa itu saya sangat takut, tidak tahu apa yang akan terjadi, dan saya tidak faham apa yang telah berlaku,” terang beliau kepada peguam. Beliau diheret dalam keadaan darah menitis di mukanya terutama di bahagian bibir yang dipukul teruk.

Fauzi dibawa ke dalam satu bilik, di mana tentera Zionsi sekali lagi mula memukul dan menendang beliau. Beliau menjerit supaya mereka berhenti memukul, tetapi mereka terus menendang dan memukul secaraberterusan selama kira-kira lima minit.

Tentera Zionsi kemudian mengeluarkan Fauzi dari dalam bilik tersebut dan menolaknya jatuh ke tanah dalam keadaan mata tertutup dan kedua-dua tangan masih terikat ke belakang.

Ketika beliau duduk di atas tanah, seorang askar datang memukul dan menendang beliau lagi. Kasut yang dipakai oleh Fauzi tertanggal, dan ketika itu salah seorang askar mencurah air yang sangat sejuk ke atas kakinya sebelum memijak-mijak kaki tersebut sambil mulutnya mencerca dan mencaci.

Selepas itu, Fauzi diberikan sehelai jaket plastik, yang dipakainya ketika hadir di mahkamah tentera pada 11 Disember lalu.

Fauzi dibawa ke kem tahanan Etzion di utara al-Khalil di mana beliau dipukul dan disoal siasat sepanjang malam. Beliau kemudian dipindahkan ke pusat tahanan Ofer sehingga dibebaskan.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts