[Foto] 8 termasuk 3 wanita hamil cedera di selatan al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 29 Ogos 2018 — Sekurang-kurangnya lapan orang penduduk Palestin termasuk tiga wanita hamil dan beberapa orang kanak-kanak cedera diserang ketika mereka membantah tentera Zionis meroboh sebuah bangunan kedai di bandar Silwan yang terletak di selatan Masjid al-Aqsa.

Bangunan seluas 70 meter persegi yang terletak di kejiranan Ein Al-Lozeh itu didakwa dibina tanpa kebenaran. Ia dibina 15 tahun lalu, dan disewa sebagai sebuah kedai percetakan. Pemilik bangunan, Omar Siyam, sebelum ini berjaya membatalkan arahan perobohan selepas membuat rayuan kepada pihak perbandaran Zionis.

Penduduk Palestin yang cuba menghalang perobohan diserang dengan semburan pemedih mata dan grenad pelali, di mana mereka dipukul secara ganas. Seramai lapan orang termasuk mangsa yang terkena tembakan peluru getah dirawat di Pusat Rawatan Ein Al-Lozeh, manakala beberapa orang lagi dirawat di lokasi.

Tiga penduduk ditangkap, iaitu Ahmad Samrin, Izz Samrin dan Tareq Ruwadi.

(PIC, Maan, IMEMC, PNN)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts