GAZA, 10 Feb 2016 (BHP) — Mantan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyah, Khamis 4 Februari lalu telah merasmikan Akademi Al-Quran Dan As-Sunnah Indonesia-Malaysia di Jabaliya, utara Gaza.
Akademi hasil sumbangan ikhlas masyarakat Malaysia dan Indonesia itu dijayakan melalui kerjasama beberapa NGO antarabangsa melibatkan HALUAN, Al-Sarraa Foundation yang beroperasi di Gaza, serta Sahabat Al-Aqsa dan RodjaTV yang berpengkalan di Indonesia.
Dana pembinaan akademi ini terkumpul sejak beberapa tahun lalu, yang asalnya dikhususkan untuk pembinaan Sekolah Syar’iyah di kem pelarian Deir Balah. Bagaimanapun perancangan projek sekolah tersebut tidak dapat diteruskan, justeru diganti dengan pembinaan akademi ini yang diselia secara langsung oleh pejabat Perdana Menteri Palestin melalui Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama.
Turut hadir di majlis perasmian tersebut adalah mantan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Dr Ismail Ridwan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Lembaga Darul Quran Dan Sunnah Gaza, Dr. Abdurrahman Jamal.
Semoga sumbangan ikhlas anda ini menjadi amal jariah yang diterima sebaiknya oleh Allah SWT.
Sumbangan untuk projek bantuan rakyat dan pelarian Palestin boleh disalurkan melalui
Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2.