[Foto] Kawasan Perkampungan Dan Kejiranan Palestin Sekitar Al-Quds Dikepung

AL-QUDS, 16 Okt 2015 (Silwanic) — Rejim Zionis mengepung kawasan perkampungan dan kejiranan Palestin di Al-Quds, menutup jalan-jalan masuk utama dengan bongkah simen dan memasang sekatan jalan. Halangan besi juga dipasang di merata lorong dan jalan, sebagai hukuman kolektif ke atas penduduk Palestin setelah kabinet Zionis memutuskan untuk menutup semua kawasan kejiranan Arab Palestin sebagai tindak balas kepada penentangan mereka terhadap penjajahan.

Jalan-jalan masuk ke Silwan, Al-Tur, Esawyeh, Al-Sowaneh, Sur Baher dan Jabal Al-Mukabber kini ditutup. Tentera Zionis juga memasang halangan besi di sebahagian besar lorong-lorong di Al-Quds dan Kota Lama serta memisahkan perkampungan Palestin dari kampung-kampung yang lain.

Kejiranan Palestin di Al-Quds mula dipisahkan sejak petang Rabu lalu, di mana tentera Zionis dengan sengaja menutup jalan masuk dengan lori-lori berat yang membawa bongkah simen, sekaligus mengganggu dan menyesakkan lalu lintas di Al-Quds.

Penduduk, pelajar dan juga pekerja terpaksa mencari laluan alternatif walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko dengan kehadiran tentera Zionis yang semakin ramai di jalan-jalan sekitar Al-Quds. Staf perhidmatan bantuan awam, ambulan serta petugas perubatan yang harus memberi bantuan kecemasan tidak terlepas daripada masalah ini.

Bagi penduduk Palestin pula, mereka kini berhadapan dengan pemeriksaan keselamatan yang sangat provokatif, di mana semua penduduk ,tidak kira wanita mahupun kanak-kanak, akan diperiksa. Bagi lelaki Palestin, mereka dipaksa membuka baju dan kasut manakala beg dan dompet para wanita akan diperiksa secara teliti.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts