[Foto] Masjid al-Aqsa diserang lagi, puluhan ahli jemaah cedera

AL-QUDS, 27 Jun 2016 (Maan) — Puluhan orang cedera apabila pasukan polis penjajah menceroboh masuk Masjid al-Aqsa menyerang para jemaah pagi tadi.

Serangan hari kedua berturut-turut itu menyebabkan dua orang cedera disembur dengan gas pemedih mata dan seorang lagi ditembak dengan peluru getah di bahagian dada. Keseluruhannya, 35 orang terkena tembakan peluru getah.

Sekumpulan besar polis penjajah memasuki Masjid al-Aqsa dan dikerahkan bertebaran ke seluruh kawasan masjid, sehingga menimbulkan suasana tegang.

Pertempuran selama lebih tiga jam itu tercetus apabila pihak polis membenarkan sekumpulan 14 orang pendatang Yahudi menceroboh masuk masjid dengan dikawal oleh pasukan keselamatan, menghalang pergerakan para jemaah yang beriktikaf.

Polis mengejar para jemaah di perkarangan masjid, mengepung dan menyerang sebahagian mereka, di samping mengurung para jemaah dengan mengunci pintu Musolla al-Qibli dengan rantai besi.

Polis melepaskan tembakan grenad pelali dan gas pemedih mata serta peluru getah secara rambang di perkarangan masjid dan ke dalam Musolla al-Qibli.

Tiga orang ditangkap atas tuduhan membaling batu ke arah polis Zionis.

Dalam serangan semalam, 20 orang jemaah mengalami kecederaan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts