BAITULMAQDIS, 23 Jan 2018 — Penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis mengadakan mogok umum sepanjang hari ini bagi membantah lawatan Naib Presiden Amerika, Mike Pence, ke wilayah-wilayah yang terjajah itu.
Kedai-kedai, bank, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan institusi perniagaan ditutup.
Sepanjang malam, kumpulan pemuda Palestin menutup laluan Jenin-Qalqilya bagi membantah kehadiran Pence.
Pence adalah salah seorang pelobi utama dalam pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibukota negara haram Zionis dan rancangan memindahkan pejabat kedutaan Amerika ke kota suci itu. Beliau dijangka membuat kunjungan ke Tembok al-Buraq di Masjid al-Aqsa hari ini.
Pence tiba di negara haram Zionis dengan sambutan penuh sebagai seorang pemimpin negara semalam, selepas membuat lawatan ke Mesir dan Jordan.
Bagaimanapun Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta pemimpin-pemimpin Kristian di negara haram itu turut memboikot kehadiran Pence.
(PIC, Maan)