[Foto] Raungan Anak Kecil Minta Diselamatkan

GAZA, 12 Okt 2015 (Ma’an) — Sebuah anak patung dan beberapa barang permainan kanak-kanak adalah antara barang yang ditemui bersama jasad kanak-kanak berusia dua tahun, Rahaf Hassan. Anak perempuan kecil itu dan ibunya yang berusia 25 tahun yang sarat mengandung terbunuh dalam satu serangan udara tentera Zionis di selatan Gaza City, kelmarin.

Sebelum berlakunya serangan, Rahaf dan ibunya tinggal di rumah keluarganya yang terletak di sebuah dusun zaitun, satu kawasan pertanian yang sememangnya jauh daripada kawasan yang sering diceroboh masuk oleh tentera.

Rejim Zionis mendakwa rumah tersebut terletak berhampiran dengan salah satu kem pejuang, justeru ia amat strategik digunakan oleh pejuang Palestin untuk melancarkan serangan. Dakwaan ini menjadi justifikasi kepada rejim untuk melakukan serangan peluru berpandu ke arah rumah tersebut.

Semua ahli keluarga yang berada di dalam rumah tersebut terperangkap di bawah runtuhan. Ayah Rahaf, Yahya, memeritahu bahawa dia mendengar jeritan anaknya yang memanggil supaya diselamatkan segera.

Namun beliau hanya mampu mendengar, kerana dirinya juga terperangkap di bawah runtuhan bangunan bersama seorang anak lelakinya.

Rahaf terus memanggil sekuat hati, dirinya dalam kesakitan. Akhirnya, suara Rahaf semakin lemah dan dia mati di bawah timbunan itu.

Yahya menyedari nasib anaknya itu dan terus menjerit meminta tolong.

“Aku di sini! Tolong aku. Aku dapat dengar suara anak aku. Tetapi aku tidak dengar lagi suara Rahaf. Tolonglah selamatkan dia!” Yahya memekik tanpa henti.

Sepupu Yahya, Husam memberitahu agensi berita Ma’an bahawa sasaran serangan rejim Zionis sama sekali tidak ada kena mengena dengan pejuang Palestin.

“Apakah kesalahan Rahaf? sehingga dia dan ibunya dibunuh?”

Tentera Zionis mengeluarkan kenyataan bahawa sasaran serangan tersebut adalah sebuah gudang membuat senjata Hamas di utara semenanjung Gaza. Tetapi kenyataan mereka langsung tidak menyebut tentang kematian dan kemusnahan yang telah mereka lakukan ke atas anak kecil dan keluarganya itu.

Kematian Rahaf dan ibunya telah menjadikan angka korban penduduk Palestin kepada 11 orang sejak awal bulan ini. 9 kes sebelum ini dicatatkan di sekitar pagar sempadan Gaza.

Foto Abdillah Onim & Internet.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts