Gaza Adalah Simbol Ketabahan – Hamdallah

hamdallahGAZA, 9 Okt 2014 (Ma’an) — Delegasi menteri kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri Rami Hamdallah tiba dari Ramallah hari ini untuk menghadiri mesyuarat sulung kerajaan perpaduan sejak ditubuhkan bulan Jun lalu.

Bercakap kepada media sebaik tiba melalui pintu masuk Beit Hanoun (Erez Crossing) di utara Gaza, Hamdallah berkata bahawa persaingan di antara Fatah dan Hamas kini sudah berlalu. “Saya sangat terharu berdiri di atas bumi Gaza. Gaza adalah satu simbol ketabahan dan maruah, satu pelindung dan penjaga hak-hak dan sejarah.”

Matlamat utama kerajaan perpaduan adalah untuk menamatkan persaingan di antara Tebing Barat dan Gaza, kata Hamdallah.

“Kami akan terus bersatu melindungi Gaza dan tidak akan sekali-kali bersetuju untuk memisahkan Gaza atau mengasingkan warganya,” janji beliau. Hamdallah juga menyampaikan ucapan terima kasih daripada Presiden Mahmud Abbas kepada mereka yang mempertahankan maruah rakyat Palestin dengan menyirami bumi Palestin dengan darah mereka serta ketabahan yang hebat.

“Kita telah meninggalkan zaman pertelingkahan di belakang dan mula untuk melaksanakan persatuan bagi membuka ruang untuk masyarakat antarabangsa berpegang kepada tanggungjawab mereka untuk membina semula (Gaza), menghentikan sekatan, membuka semua pintu lintasan masuk dan mengendalikan laluan yang selamat di antara Tebing Barat dan Gaza,” tambah Hamdallah.

Perdana Menteri Palestin itu juga melahirkan rasa terkejut apabila melihat kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas Gaza, sekaligus memberi indikasi bahawa tugas besar dan berat sedang menunggu dalam usaha membina semula Gaza dan menghentikan sekatan haram rejim Zionis dan sekutunya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts