Gaza Dilanda Banjir

GAZA, 13 Dis 2013 — Seramai 3,200 orang dari 500 keluarga di Gaza kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka dilanda banjir. Ratusan buah rumah dinaiki air berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda wilayah terkepung itu.

Selain daripada kerosakan akibat air banjir, kediaman mereka juga terjejas apabila atap-atap rumah dilanda angin kencang. Mereka kini terpaksa berhadapan dengan cuaca buruk ini dalam keadaan suhu di paras tiga darjah Celcius.

Semalam, Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan darurat di Gaza apabila hujan turun dengan sangat lebat.

Sebanyak 15 pos pemindahan banjir telah disediakan di seluruh Gaza, kebanyakannya di kawasan tengah dan utara. Penduduk terbabit ditempatkan sementara di bangunan-bangunan sekolah dan balai polis. Kawasan yang dilanda teruk terjejas adalah di Wadi Salqa, Timur Deir Balah dan Gaza Tengah.

Perdana Menteri, Ismail Haneyya, merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya membantu penduduk Gaza yang terpaksa hidup dalam krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat sekatan dari dunia luar. Kini mereka sedang dilanda cuaca buruk dan musim sejuk yang mungkin berlarutan sehingga tiga bulan akan datang.

Sementara itu di Baitul Maqdis, salji yang turun dengan lebat menyebabkan sekolah ditutup dan sebahagian besar penduduk tidak dapat keluar dari rumah. Kebanyakan kawasan di sini diliputi sajli sehingga 15 inci. Manakala kawasan Ramallah dan Bethlehem juga dilanda salji dan sebahagiannya turut dilanda banjir akibat hujan lebat.

HALUAN mengajak rakyat Malaysia agar tetap prihatin terhadap permasalahan Palestin dan bersama-sama membantu ke arah penyelesaian yang hakiki. Penderitaan mereka yang semakin meruncing ini menjadi tanggungjawab ke atas setiap manusia yang waras untuk aktif membantu. Anda yang ingin membantu melalui usaha-usaha misi bantuan Biro HALUAN Palestin boleh menyalurkan sumbangan melalui “Tabung Palestin HALUAN” di Bank Islam Malaysia Berhad 14-023-01-003429-2 atau Maybank Berhad 5644-9020-8528.


—–

Laporan Unit Media Biro HALUAN Palestin. Sumber maklumat dari Al-Ray dan Ma’an. Foto Al-Ray.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts