GAZA, 2 Dis 2014 (WorldBulletin) — Lebih tiga bulan selepas tamatnya serangan brutal tentera Zionis ke atas penduduk Gaza, Saqeeqa Naseer masih terpaksa tinggal di bawah runtuhan rumahnya. Serangan bom meranapkan rumahnya di dua tingkat atas sebuah apartmen tiga tingkat di Beit Hanoun itu, sekaligus meninggalkan timbunan tinggi runtuhan batu dan sampah.
35 orang masih tinggal di tingkat bawah bangunan itu, di mana lubang-lubang akibat serangan peluru kereta kebal hanya mampu ditutup dengan menggunakan helaian plastik, yang tidak sekali-kali dapat menghalang cuaca sejuk dan hujan lebat.
Seseorang membantu mereka menyambung wayar bagi mendapat bekalan elektrik dari sebuah bangunan bersebelahan, cukup untuk kegunaan sebuah peti sejuk dan sebiji lampu pada waktu malam. Tetapi tidak ada yang dapat membantu mereka untuk mendapatkan simen bagi membina atau membaiki rumah, dan tidak ada juga yang dapat membawa jentolak untuk membersihkan runtuhan. Mereka terpaksa memecahkan slab konkrit menggunakan tukul.
“Siapa agaknya yang sanggup tinggal di sini?” tanya Saqeeqa, 60 tahun, yang mendakwa beliau tidak menerima apa-apa bantuan daripada PBB atau sesiapa sekalipun.
Sejak serangan dari Julai hingga Ogos lalu di mana lebih 2,100 penduduk Gaza terbunuh, tidak ada perkembangan ke atas usaha membina semula wilayah yang musnah itu, sungguhpun $5bilion dana bantuan telah dijanjikan oleh negara-negara luar.
Rejim Zionis mengawal ketat kemasukan alat dan bahan binaan ke Gaza, dengan alasan bimbang digunakan untuk membina terowong bawah tanah. Namun para pengkritik mendakwa tindakan rejim Zionis itu menjadikan usaha membina semula Gaza suatu yang mustahil, sehinggakan 40,000 daripada 1.8 juta penduduk Gaza masih terpaksa menumpang di penginapan sementara dan ribuan lagi berhadapan dengan musim sejuk di celah-celah runtuhan.
Menurut Menteri Perumahan kerajaan perpaduan Palestin, Mufeed al-Hasayna, Gaza memerlukan 8,000 tan simen setiap hari bagi memenuhi keperluan pembinaan semula. Namun, melalui sistem yang ditetapkan oleh rejim Zionis dan dipersetujui oleh PBB itu, hanya 2,000 tan akan dibenarkan masuk. Pada kadar tersebut, pembinaan semula Gaza akan mengambil masa selama 30 tahun.
18,000 buah rumah telah musnah sama sekali dan sekitar 50,000 lagi rosak teruk. “Sebelum serangan, Gaza memerlukan 70,000 buah apartmen bagi memenuhi keperluan pertumbuhan penduduk. Sekarang, selepas serangan, kami memerlukan 150,000 buah apartmen baharu (setiap tahun),” kata Hasayna.
Mesir masih menutup pintu masuk di lintasan Rafah, jadi Gaza hanya bergantung kepada dua pintu masuk di sempadan negara haram rejim Zionis; satu untuk kemasukan barangan dan satu lagi untuk pergerakan keluar-masuk penduduknya.
Bagi penduduk awam Gaza yang tidak mendapat bantuan daripada sumber rasmi PBB, jika mereka mendapat bekalan simen sekalipun, mereka terpaksa membeli dari pasaran gelap pada harga $50 setiap bag, iaitu lebih tujuh kali ganda harga pasaran.
Mereka yang berusaha membersihkan runtuhan di luar apartmen tempat tinggal Saqeeqa akan menjual apa sahaja besi dan bahan berguna yang dapat mereka keluarkan. Tetapi mereka hanya mempu melakukan segalangya dengang menggunkan tangan, tanpa jentolak atau mesin.
“35 orang tinggal dalam keadaan yang tidak mendapat bantuan sesiapa sekalipun kecuali Allah,” kata Saqeeqa. “Kami berhajat supaya rumah kami dapat dibina semula sebelum cuaca sejuk dan penyakit membunuh kami.”