Kerajaan dan rakyat Palestin di Gaza telah melancarkan kempen mengumpul dana bagi membantu rakyat Somalia yang kini sedang dilanda bencana kemarau yang dahsyat. Kementerian Wakaf telah melancarkan kempen selama 2 minggu sejak 12 Ogos, dan berjaya mengumpul sebanyak 132,000 dollars.
Dalam kenyataan kementerian tersebut, para imam telah diarah mengajak masyarakat untuk menghulurkan derma bagi menyelamatkan rakyat Somalia yang berhadapan dengan kebuluran.
Arab Medical Union (AMU) iaitu salah satu daripada pertubuhan kebajikan (NGO) di Gaza, turut melancarkan kempen yang digelar “Dari Gaza: Bersama Menyelamatkan Anak-Anak Somalia.” Menurut jurucakap AMU, kempen ini akan membuktikan persamaan antara rakyat Gaza yang dizalimi zionis dan Somalia yang berhadapan dengan bencana, di mana rakyat Palestin menghayati penderitaan di Somalia dan mampu membantu rakyat negara lain yang menderita. Usaha kempen AMU ini turut tersebar di Tebing Barat.
Lebih 11 juta rakyat Somalia kini berhadapan dengan kemarau panjang di mana puluhan ribu daripada mereka terkorban akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan yang kronik.
Biro Misi Kemanusiaan HALUAN akan turut membantu rakyat Somalia yang sedang menderita ini. Pasukan bantuan pertama akan berlepas pada 1 September dengan memberi tumpuan membantu pelarian di sempadan Somalia-Kenya. Untuk misi ini, HALUAN bekerjasama dengan Insani Yardem Vakfi (IHH) Turki yang telah lama beroperasi di wilayah tersebut. Anda boleh turut menyumbang melalui
Nama Akaun: HALUAN
No Akaun: 14-023-01-002571-8
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad
Semoga keprihatinan anda dapat menyelamatkan dan mengurangkan penderitaan rakyat Somalia.