Gaza Perlukan Tindakan Sebenar, Bukan Laporan Demi Laporan

GAZA, 2 Sep 2015 (AIC) — Satu hasil kajian baharu telah diterbitkan oleh United Nations Country Team (UNCT) semalam, dengan mencadangkan bahawa Gaza mungkin tidak dapat dihuni oleh manusia dalam tempoh lima tahun lagi sekiranya keadaan tenat ekonominya berterusan.

Laporan tersebut juga menjelaskan tentang kesan sekatan dan serangan berterusan ke atas Gaza, ditambah pula dengan kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi, sebagai faktor yang akan menyebabkan wilayah seluas 360 kilometer persegi itu tidak lagi sesuai untuk didiami.

Haidar Eid, seorang profesor di Universiti Al-Aqsa di Gaza yang juga merupakan seorang aktivis Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang terkenal, agak pelik dengan tumpuan yang diberikan oleh laporan tersebut ke atas jangkaan apa yang akan berlaku tahun 2020. Sedangkan, menurut Prof Haidar, maklumat yang ada dalam laporan UNCT itu sudah memadai untuk merumuskan bahawa “Gaza hari ini sudahpun tidak sesuai untuk dihuni.”

Tidak ada apa-apa yang baharu atau mengejutkan dalam laporan tersebut.

Satu rumusan yang boleh dibuat adalah bahawa usaha membantu Gaza selama ini adalah tidak bersungguh dan tidak efektif.

Menurut pengarah jaringan Palestinian Non-governmental Organization (PNGO) di Gaza, Amjad Shawa, sungguhpun Gaza telah menerima bantuan berbilion dolar sejak 80 tahun lalu, kehidupan perit di Gaza sebenarnya semakin mencengkam. Bahkan kadar pengangguran di Gaza kini mencapai 60%. “Semua kita tahu maklumat dan amaran tentang apa yang berlaku di Gaza, tetapi tidak ada tindakan yang sebenar dibuat. Kita menghargai laporan UNCT yang menyebarkan maklumat tentang Gaza, tetapi hanya penduduk Gaza dapat membezakan di antara menyebarkan maklumat dan mengambil tindakan yang sebenarnya,” kata Amjad. “Sungguhpun begitu, kita mengharapkan laporan UNCT ini akan dapat meyakinkan masyarakat antarabangsa tentang peranan rejim Zionis dalam melahirkan keadaan hidup yang sengsara di Gaza.”

Bagaimanapun Amjad tidak meletakkan harapan daripada laporan terbaharu itu. Bahkan beliau melihat laporan tersebut sebagai refleksi keengganan masyarakat antarabangsa menghukum rejim Zionis atas jenayah mereka ke atas penduduk Palestin. “Sungguhpun laporan itu memberikan fakta yang mengejutkan tentang Gaza, ia tidak memberikan apa-apa cadangan kepada PBB untuk menghentikan kekejaman ini. Bahkan laporan itu tidak juga menganggap apa yang berlaku di Gaza sebagai bukan bencana alam, tetapi bencana angkara kejahatan tangan Zionis,” kata Amjad.

Laporan UNCT itu antara lain mendedahkan kesengsaraan penduduk Gaza akibat kekurangan bekalan elektrik dan sumber air minum yang bersih. Ia juga memberi tumpuan ke atas kesan serangan Zionis pada tahun 2014, bagaimana serangan tersebut menjatuhkan pertumbuhan tahunan produk domestik (GDP) kepada 15%, bekalan makanan yang tidak terjamin sehingga 72% dan 500,000 penduduknya tidak mempunyai harapan bahawa tempat tinggal mereka akan dapat dibina semula.

Laporan tersebut merumuskan bahawa sekiranya keadaan ekonomi Gaza berterusan lebih banyak konflik akan timbul, kemiskinan semakin meluas, pengangguran yang tinggi, kekurangan bekalan elektrik dan air bersih, khidmat kesihatan yang tidak mengcukupi dan prasarana akan musnah.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts