Gua Musang Digegarkan Isu Palestin dan Syria

GUA MUSANG, 16 Jan 2013 – Ceramah Isu Palestin dan Syria telah dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin cawangan negeri Kelantan di Surau Nur Iman, Gua Musang, Kelantan di sini, satu program yang julung kali dianjurkan di daerah Gua Musang. Ekoran isu Palestin dan Syria yang semakin hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya dan dunia umumnya, Biro HALUAN Palestin merasa terpanggil untuk menyedarkan masyarakat terhadap isu umat Islam ini.

Antara objektif program ini dianjurkan adalah untuk menyedarkan masyarakat agar sentiasa cakna terhadap kemelut umat Islam di seluruh dunia terutamanya mereka yang ditindas, dizalimi dan dibunuh tanpa belas kasihan di Gaza, Palestin dan Syria. Selain itu, program sebegini juga dapat menjalinkan hubungan ukhwah Islamiah yang lebih erat dalam kalangan masyarakat di sini agar sentiasa bersatu sesama saudara Muslim agar keharmonian dan juga kesepakatan dapat diwujudkan dalam suasana yang lebih cakna dan menyeluruh khususnya dalam isu Palestin, Syria mahupun Rohingya.

Program tersebut berjaya mengumpul ramai masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Alhamdulillah, kehadiran yang memberangsangkan itu disebabkan ceramah isu Palestin dan Syria tersebut merupakan yang pertama kali pernah dianjurkan di sini, khususnya di daerah Gua Musang. Turut hadir bersama program ini adalah beberapa orang ahli HALUAN dan juga mahasiswa daripada Kelab Siswa HALUAN. Program bermula seusai solat maghrib dengan dipengerusikan oleh Encik Zakaria Mat Yaman, Ketua HALUAN Gua Musang. Ceramah disampaikan oleh Pengerusi HALUAN Palestin Negeri Kelantan, Dr. Mohamad Ariff Rasyid. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, para jemaah telah didedahkan dengan situasi terkini rakyat Palestin di Gaza melalui tayangan multimedia dan juga penerangan langsung oleh penceramah. Hadirin kelihatan agak tersentuh dan tertarik dengan segala penderitaan dan kesedihan yang dialami masyarakat Islam Palestin dan kezaliman para tentera Zionis yang membunuh penduduk awam Palestin terdiri daripada kanak-kanak, para ibu, wanita, remaja dan orang awam yang tidak memikul senjata. Dalam masa yang sama, sepanjang sesi ceramah berlangsung, Tabung Kecemasan HALUAN Palestin diedarkan dengan harapan agar masyarakat setempat dapat memberikan sumbangan ikhlas mereka.

Selesai ceramah, Pengerusi majlis telah menjemput wakil penduduk yang juga ahli jawatankuasa Surau Nur Iman untuk menyempurnakan upacara simbolik penyerahan sumbangan tabung kecemasan kepada Pengerusi HALUAN Palestin Kelantan. Salah seorang ahli Jemaah yang juga ahli jawatankuasa masjid, Encik Alias mengatakan, “program pada malam ini merupakan satu permulaan terhadap siri-siri program yang akan datang. Program seperti ini dapat menyedarkan ahli kariah tentang peranan dan juga sikap kita terhadap isu ini.” Beliau juga menegaskan bahawa program seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan ukhwah Islamiah di samping mewujudkan kesatuan dalam kalangan masyarakat Islam. Beliau berharap agar para penduduk kampung khususnya dan juga semua ummat Islam mahupun bukan Islam agar menzahirkan perasaan ingin menderma untuk membantu mangsa di Palestin dan Syria.

——

Laporan Ahmad Akram Solihin Bin Zakaria

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts