HALUAN dukung kempen antarabangsa hapuskan sekatan ke atas Gaza

BANDAR BARU BANGI, 25 Apr 2017 (BHP) — HALUAN mendukung penuh kempen Persatuan Ulamak Ummah yang dilancarkan dua hari lalu bagi mengajak masyarakat antarabangsa bertindak menghapuskan sekatan zalim ke atas Gaza.

Tujuan kempen tersebut adalah untuk mendedahkan penderitaan penduduk Gaza akibat sekatan yang berterusan sejak 11 tahun lalu.

Berikut adalah kenyataan penuh HALUAN.

BANDAR BARU BANGI
22 April 2017.

Hari ini, 22 April 2017 genap 11 tahun rejim penjajah Israel mengepung bumi Gaza. Tahun demi tahun kepungan semakin serius dan buruk, menyebabkan keadaan kehidupan dan sosio-ekonomi lebih dua juta penduduk Gaza semakin teruk. Akibat kepungan semua laluan darat, laut dan udara dan penutupan pintu lintasan di sempadan Rafah oleh pemerintah Mesir secara berterusan, tahap kemiskinan dan pengangguran semakin teruk. Malahan laporan kordinator kemanusiaan PBB, Maxwell Gaylard, memberi amaran bahawa Gaza tidak lagi sesuai untuk didiami menjelang tahun 2020 sekiranya langkah drastik tidak diambil terutama sekali bagi menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik, kediaman, kesihatan dan pendidikan.

Hingga kini masih banyak keluarga di Gaza yang tidak mempunyai rumah akibat serangan besar-besaran sebanyak tiga kali sejak dikepung pada tahun 2007. Mereka juga berhadapan dengan krisis kekurangan ubatan, pertambahan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan pakar di luar negara, pertambahan kadar pengangguran dan keperluan kepada pendidikan yang amat mendesak.

Kempen antarabangsa pada 22 April 2017 yang mendesak dihentikan sekatan zalim ke atas penduduk Gaza itu perlu kepada sokongan menyeluruh secara diplomatik, di mana kedutaan serta Ahli Parlimen dari seluruh dunia, terutamanya dari dunia Arab dan negara-negara Islam, perlu mendedahkan kekejaman demi kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza, sehinggalah kepungan dan sekatan ke atas Gaza dihapuskan sepenuhnya.

HALUAN bersama NGO-NGO antarabangsa yang prihatin tentang isu Gaza dan Palestin memandang serius terhadap kekejaman serta keganasan rejim Zionis Israel ke atas penduduk Gaza yang berlarutan sekian lama, tanpa mendapat bantahan mahupun perhatian masyarakat dunia. Sikap ganas rejim penjajah menjadikan penduduk Gaza sebagai sasaran penindasan dan serangan dikeruhkan lagi dengan langkah menghalang segala bentuk bantuan kemanusiaan daripada dibawa masuk.

Inisiatif yang dilakukan oleh ‘The League of Ummah Scholars to Break The Siege Gaza’ perlu mendapat sokongan daripada semua manusia yang cintakan kedamaian, khususnya umat Islam. HALUAN menyeru semua lapisan masyarakat Malaysia untuk bersama menyokong usaha murni ini demi pembebasan Gaza dan seluruh wilayah Palestin yang terjajah daripada cengkaman dan kezaliman rejim Zionis Israel.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts