HALUAN terima amanah projek kemanusiaan di Gaza

Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Abdullah hadir menerima cek bantuan oleh Wisma Putra
Presiden HALUAN Prof Madya Dr Abdullah (kiri) hadir menerima cek bantuan kemanusiaan dari Wisma Putra

KUALA LUMPUR 19 Mac – Usaha HALUAN dalam menyumbang bantuan kemanusiaan mendapat ransangan baru apabila diamanahkan untuk melaksanakan beberapa projek amal dan pembangunan semula Gaza. Sesuai dengan motto yang dibawa – mendidik dan berbakti, HALUAN dengan rendah diri dan rasa tanggung jawab menerima amanah tersebut sebagai memikul tanggungjawab kemanusiaan yang disandarkan oleh masyarakat prihatin yang menghulurkan derma kepada mangsa-mangsa keganasan rejim pengganas Zionis Israel di Gaza.

HALUAN merupakan salah satu dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat menyertai Program Kemanusiaan Untuk Penduduk Palestin di Gaza yang dilaksanakan oleh Wisma Putra. Terdapat beberapa sektor berkaitan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza yang dikenal-pasti oleh Wisma Putra, termasuklah projek pembekalan air, bantuan kepada pembekal makanan asas-roti, pembekalan kuasa elektrik-generator mini, pembekalan ubat-ubatan, pembekalan anggota palsu, pembelian ambulans, bantuan pembelajaran, pembiayaan mikro dan kempen kesedaran.

Selain daripada HALUAN, pertubuhan lain yang terpilih adalah Yayasan Amal, Dewan Pemuda Masjid Maslaysia, Muslim Care, Global Peace, Peace Malaysia, MERCY Malaysia, Aman Palestin, Islamic Relief, Yayasan Salam, Pertubuhan Mawaddah, YATI, MSRI dan COMPLETE.

Majlis penyerahan cek telah dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri, YAB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR,) Kuala Lumpur. Turut hadir menyampaikan cek kepada NGO yang terlibat adalah YBhg Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan penaung kepada Rayuan Dana Atas Nama Kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.

Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Abdullah Sudin telah hadir untuk menerima cek tersebut. HALUAN telah diberi amanah untuk mengetuai projek membekalkan air bersih menggunakan “tube well” bersama-sama Yayasan Amal dan Dewan Pemuda Masjid Malaysia. Selain dari itu, HALUAN juga terlibat dalam projek Pembiayaan Mikro bersama-sama Global Peace sebagai ketua projek, dan Aman Palestin.

Sebelum majlis penyampaian cek, YAB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim juga telah merasmikan Kursus Asas Keselamatan Untuk Petugas Kemanusiaan di Zon Konflik yang dianjurkan oleh Kementeria Luar Negeri. Kursus tersebut diadakan sebagai persediaan awal petugas-petugas dari NGO terbabit untuk melaksanakan projek yang dirancang di Palestin.

HALUAN telah diwakili oleh Pengerusi Sekretariat HALUAN Palestin, Hj Noorazman Shamsudin, dan Ketua Biro Bantuan Kemanusiaan dan Kecemasan, Dr Syed Mohd Haleem, untuk menyertai kursus selama dua hari tersebut.

HALUAN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Wisma Putra. InsyaAllah amanah ini akan dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan gigih, sebagai mewakili para dermawan yang telah menyumbang sebahagian dari rezki mereka demi membantu mangsa kerakusan rejim Israel di Gaza.

HALUAN berharap kepada masyarakat supaya dapat terus membantu, kerana pembangunan semula Gaza, dan Palestin secara umumnya, sangat memerlukan komitmen yang besar dan berterusan. Keganasan rejim Zionis Israel ke atas Palestin tidak pernah terhenti, sedangkan rakyat Palestin terus disiksa melalui sekatan, penangkapan kanak-kanak, perobohan rumah mereka dan juga perompakan ke atas harta, ternakan dan tanah tempat tinggal mereka.

Bantuan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga dengan menyebarkan kesedaran tentang permasalahan Palestin kepada masyarakat. InsyaAllah, HALUAN menerusi Sekretariat HALUAN Palestin terus giat dengan kempen memberi kesedaran termasuk di sekolah, masjid dan surau dan juga pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts